Rabu, Disember 23, 2009

Hari Asyura_10 Muharram


Muqaddimah
Hari Asyura tahun ini adalah pada Hari Ahad (27 Disember 2009). Sepuluh Muharram dalam bahasa Arab disebut Asyura (Kesepuluh-merujuk kepada 10 Muharram). Ia menjadi penting antara lain diundangkannya untuk pertama kali sebagai hari berpuasa dalam sejarah Islam.

Amalan Hari Asyura

Antara amalan yang digalakkan diamalkan pada Hari Asyura ialah :
  1. Berpuasa

  2. Meluaskan makanan kepada ahli keluarga

  3. Menyapu kepala anak yatim

  4. Bersedekah

  5. Menghubungkan silaturrahim

  6. Mandi sunat (bersihkan diri)

  7. Potong kuku

  8. Memakai celak (bagi lelaki)

  9. Menziarahi orang-orang alim

  10. Menziarahi orang-orang sakit

  11. Solat sunat

  12. Membaca surah al-Ikhlas sebanyak 1000 kali

Al Allamah al Ujhuri R.A berkata : daripada 12 jenis amalan di atas, dua daripadanya sahaja yang benar-benar thabit daripada Rasulullah berdasarkan hadith yang sohih iaitu perkara (1) dan (2).

(1) Berpuasa

Hukum berpuasa pada hari ‘Asyura’ adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang amat dituntut. Anjuran berpuasa pada hari tersebut disebutkan dalam hadis Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang

  • diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan ialah bulan Muharram dan sebaik-baik sembahyang selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang pada waktu malam.”(Hadis riwayat Muslim)

  • Dalam hadis yang lain pula, Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma menceritakan:

Maksudnya:“Aku tidak melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mencari-cari puasa pada satu hari, (Baginda) mengutamakannya daripada hari-hari yang selainnya, kecuali hari ini iaitu hari ‘Asyura’, dan bulan ini iaitu bulan Ramadhan.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam turut berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan Baginda menyuruh umat Islam berpuasa supaya tidak terlepas peluang melaksanakan tuntutan sunat ini. Antaranya:

  • Diriwayatkan daripada Abdullah bin Sa‘id bin Jabir daripada ayahnya, daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhum, katanya:

Maksudnya:
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika sampai ke Madinah lalu melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’. Kemudian Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Apa ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari baik, Ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh-musuh mereka, lalu (pada hari ini) Nabi Musa berpuasa.” Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku lebih berhak untuk menghormati Musa daripada kamu.” Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa hari ‘Asyura dan menyuruh para sahabat untuk berpuasa pada hari tersebut.”(Hadis riwayat al-Bukhari)

  • Dalam hadis lain yang diriwayatkan daripada Humaid bin Abdul Rahman, dia mendengar Muawiyyah bin Abu Sufyan berkata di atas minbar pada hari ‘Asyura:

Maksudnya:
“Wahai penduduk Madinah, di manakah para ulama kamu? Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ini adalah hari ‘Asyura’, dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa. Namun aku berpuasa. Maka barangsiapa yang menghendaki untuk berpuasa, maka berpuasalah dan barangsiapa yang menghendaki untuk tidak berpuasa, maka berbukalah”. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kelebihan Puasa Hari 'Asyura

Berdasarkan hadis-hadis di atas, jelas bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menggalakkan umat Islam supaya melakukan puasa hari ‘Asyura’. Peluang seumpama ini tidak harus dilepaskan oleh umat Islam, apalagi jika mengetahui fadhilat yang diberikan kepada mereka yang melakukan puasa hari ‘Asyura’.

Fadhilat berpuasa hari ‘Asyura’ disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abi Qatadah Radhiallahu ‘anhu, RasulullahShallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“… Berpuasa pada hari ‘Asyura, aku mengira bahawa Allah akan menebus dosa tahun yang dahulunya (bagi orang yang berpuasa pada hari tersebut).” (Hadis riwayat Muslim)

Terdapat beberapa pendapat tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘tahun yang dahulunya’:

i. Tahun itu sendiri, iaitu sembilan hari sebelum hari ‘Asyura’.

ii. Sepanjang tahun sebelum hari ‘Asyura (iaitu bermula darihari ‘Asyura’ sebelumnya).

Imam Muslim meriwayatkan daripada Sayyidina Abu Qatadah al-Anshari r.a. bahawa Junjungan Nabi s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura` dan baginda menjawabnya: "yukaffirus sanatal maadhiyah" (dapat mengkafarahkan dosa setahun yang lalu).

(2) Meluaskan makanan kepada ahli keluarga

  • Imam ath-Thabrani dan Imam al-Baihaqi telah meriwayatkan dari Sayyidina Abu Sa`id al-Khudri, Sayyidina Abu Hurairah, Sayyidina Jabir dan Sayyidina Ibnu Mas`ud r.'anhum bahawa Junjungan s.a.w. bersabda:

"Sesiapa yang memberi keluasan / kelapangan (yakni keluasan rezki) kepada keluarganya pada hari 'Asyura`, maka Allah akan meluaskan rezkinya sepanjang tahun tersebut."

Berhubung hadis ini muhadditsin berbeza pendapat, ada yang mensabitkannya dan ada yang mendha`ifkan. Imam as-Sayuthi dalam "ad-Durarul-Muntatsirah" mensabitkan hadis ini sebagai sahih. Syaikh Zainuddin al-Malibari menulis dalam "Irsyadul 'Ibad ila Sabilir Rasyad" bahawa Imam Sufyan bin 'Uyainah berkata: "Kami telah mengamalkan hadis ini selama 50 atau 60 tahun, dan benar-benar sedemikian (yakni terjadi seperti yang dinyatakan dalam hadis tersebut, iaitu luas rezki sepanjang tahun).

*** Syaratnya hendaklah dari sumber dan makanan yang halal serta tidak disertai perasaan riya' dan pembaziran. Bagi yang kurang berkemampuan, hendaklah mempelokkan akhlak terhadap ahli keluarga dan memaafkan orang yang pernah melakukan kezaliman terhadap kita.

Manakala amalan lain, (3) hingga (12), sebahagian daripadanya diambil daripada dari hadith yang dhoif dan sebahagian daripadanya diambil daripada hadith munkar maudhu'.Namun demikian, memanfaat hadith dhoif dalam perkara yang berkaitan dengan fadhilat 'amal, adalah diharuskan kerana ulama hadith bersikap toleransi dalam permasalahan seperti ini. Manakala dari segi fadhilat pula, tidak lain tidak bukan adalah untuk memberi ransangan kepada kita untuk melakukan ketaatan kepada Allah.

Puasa Hari Tasu'a (ke 9 Muharam)

Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Ghatfan ibn Torif al Murri berkata:Aku mendengar Abdullah ibn Abbas R.A berkata :

Ketika Rasulullah sedang berpuasa hari Asyura dan menyuruh sahabat Baginda berpuasa, merek berkata : Wahai Rasulullah, sesungguhnya ia (hari asyura) adalah hari yang dimuliakan oleh orang Yahudi dan Nasrani. Maka Rasulullah bersabda, "Pada tahun hadapan sekiranya diizinkan oleh Allah, kami akan berpuasa pada hari yang kesembilan (Muharam)".

Berkata ibn Abbas R.A, " Maka tidak datang tahun berikutnya sehingga wafatnya Rasulullah."

Daripada ibn Abbas R.A, bahawa Rasulullah bersabda: "Sekiranya aku masih hidup hingga ke tahun akan datang, sudah pasti aku akan berpuasa pada hari yang ke-9 (Muharam)."

Hikmah

Para ulama menyebutkan bahawa hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu`a' (sembilan Muharram) itu adalah untuk :

i. Menyalahi atau membezakan amalan orang-orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari `Asyura' (sepuluh Muharram) sahaja.

ii. Bagi maksud berhati-hati berpuasa pada hari `Asyura' kerana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muharram itu dalam pengiraan adalah hari yang kesepuluh Muharram yang sebenarnya.

Sumber rujukan utama : Buku 'Amalan Awal Muharram dan Hari Asyura' yang dikarang oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki.

Alfana :

Buku tersebut terdapat dalam koleksi buku-buku saya..Sesiapa nak pinjam untuk mendapatkan bahan bacaan lanjut, boleh maklumkan..nak beli pun boleh, tapi lambat sket la boleh dapat..

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Nak Kenal Lagi??

Emel = alsalsabil@hotmail.com
YM = zanjabil27@yahoo.com
FS = laislamic@yahoo.com

Great Morning ©  Copyright by RaUDhaH Al-BaAn | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks