Memaparkan catatan dengan label Ilmiah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ilmiah. Papar semua catatan

Ahad, November 14, 2010

Hari Arafah

Alhamdulillah segala puji selayaknya bagi Allah..selawat dan salam buat junjungan Rasulullah SAW..

Melalui berita yang didengari, para jemaah haji akan mula bertolak untuk wuquf pada keesokan hari. Apa itu wuquf? Waktunya? Boleh rujuk sini.

Sebuah hikayat menceritakan bahawa sebahagian orang soleh berkata : Aku melihat seorang lelaki semasa berada di Mekah membaca :
"Ya Allah,dengan hak (keberkatan) orang yang berpuasa pada hari Arafah, janganlah Engkau haramkan daku daripada mendapat pahala hari Arafah."

Aku bertanya padanya tentang doa tersebut. Lalu dia memberitahu : Ayahku berdoa dengan doa ini.Setelah dia meninggal dunia, aku bermimpi menemuinya, lalu aku bertanya:

"Apakah yang telah Allah lakukan ke atasmu, wahai ayahku?"

Jawabnya : "Allah telah mengampunkan dosaku dengan doa ini. Ketika aku diusung ke kubur, datang kepadaku suatu cahaya, lalu dikatakan kepadaku : "Ini adalah pahala hari Arafah, sesungguhnya kami telah memuliakanmu dengannya."

Rujukan : Syeikh Muhammad ibn Ismail al Fatani, al Bahjah al Mardiyyah H: 140-142 & Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin , Amalan Bulan Zulhijjah H: 25-26


Selasa, September 21, 2010

Laskar Pelangi

~ Sudah kumiliki versi novel & DVD...sangat menyentuh hati..disarankan untuk mencubanya~


Sebuah cerpen di Kompas Minggu.Cerpen yang menceritakan seorang Ibu yang membiasakan anaknya untuk sarapan kopi pahit dan roti tawar.Kurang lebih dialog Ibu itu berbunyi demikian,"Ayahmu membiasakan diri minum kopi pahit untuk membiasakan diri karena hidup tidak selamanya akan berjalan manis.Ayahmu membiasakan sarapan roti tawar untuk mebiasakan diri karena kehidupan memang terkadang tidak bisa ditawar.Maka ayahmu tetap tegar dan kuat sampai akhir hayatnya".Maka laskar pelangi memneri nilai bahwa sebuah kepahitan dan kegetiran harus diperjuangkan bukan diratapi.Sebuah kegetiran hidup siapa mampu menawar?.Barangkali esok atau lusa kita pun akan mengalaminya.

...dipetik di sini

Ahad, Ogos 01, 2010

Keagungan Dakwah Golongan Sufi di Sisi Imam Hasan Al-Banna

Imam Hasan Al-Banna r.h.l. berkata:

Takkala berkembangnya Kerajaan Islam pada awal kurun pertama, banyaknya pembukaan-pembukaan kota Islam, takkala seluruh dunia menghadapkan wajah mereka kepada umat Islam di setiap tempat, takkala melimpahnya harta umat Islam, sehinggakan khalifah pada ketika itu seolah berkata kepada awam yang membawa hujan: "Di Timurku atau Baratku, di mana sahaja turunnya titisan hujanmu, pasti akan datang hasilnya kepadaku" (gambaran keluasan kerajaan Islam pada ketika itu), maka secara tabiatnya, umat Islam mula bersenang lenang dengan kenikmatan dunia dan mengecapi kemanisannya dan kebaikannya, samada secara berekonomi ataupun berlebih-lebihan dari sudut yang lain. Hal ini membawa kepada perubahan sosial dalam umat Islam, namun secara tabi'ienya bagi umat Islam itu, sejak zaman kenabian sehinggalah pada ketika itu, akan ada golongan orang soleh, golongan orang yang bertaqwa, golongan ulama' yang mulia dan golongan pendakwah yang mengutamakan zuhud daripada kesenangan kehidupan dunia. Mereka ini berperanan dalam mengingatkan umat Islam akan keabadian kesenangan akhirat kelak, berbanding kesenangan duniawi yang melalaikan tersebut.

Antara orang pertama yang saya (Imam Al-Banna) tahu dalam kalangan mereka yang menjalankan usaha dakwah ini adalah Imam Agung Hasan Al-Basri r.a., lalu diikuti oleh ramai orang lain dari kalangan para pendakwah yang soleh. Maka, golongan ini dikenali di sisi manusia dengan dakwah mereka kepada zikir kepada Allah dan mengingati hari akhirat. Mereka juga menyeru ke arah zuhud dan tarbiah jiwa dalam rangka mentaati Allah s.w.t. dan bertaqwa kepadaNya.

Berlaku pada hakikat ini sebagaimana yang berlaku dalam hakikat-hakikat ilmu Islam yang lain, di mana ilmu ini disusun dalam rangka untuk membentuk peribadi manusia, dan perjalanan kerohanian mula disusun dengan manhajnya yang khusus seperti: peringkat zikir, ibadah, mengenal Allah dan seterusnya sampai kepada syurga dan keredhaan Allah s.w.t. yang merupakan penghujung perjalanan seseorang.

Ini merupakan cabang daripada ilmu tasawwuf, yang mana namanya dikenali sebagai ilmu tarbiah wa suluk. Tidak syak lagi bahawasanya, ianya adalah nadi bagi agama Islam dan jatidiri Islam itu sendiri. Tidak syak juga bahawasanya, dengan ilmu tersebut (tasawwuf), golongan sufi telah mencapai mertabat yang tinggi dalam membaiki jiwa dan mengubatinya, dalam menjadi penawar kepada penyakit jiwa dan menjadi doktor dalam bidang kerohanian, yang tidak dicapai oleh para murobbi yang bukan dari kalangan mereka (golongan sufi). Tidak syak lagi bahawasanya mereka membawa manusia dengan uslub (jalan atau metodologi) ini berjalan di atas suatu garis panduan ilmiah dalam menunaikan ketaatan kepada Allah s.w.t. dan menjauhi kederhakaan terhadapNya. Mereka juga membawa manusia kepada kejujuran hati kepada Allah s.w.t., sehingga terkadang membawa kepada sesuatu yang berlebih-lebihan kerana terkesan dengan persekitaran semasa yang mencabar bagi dakwah ini, seperti berlebih-lebihan dalam berdiam diri, lapar, berjaga malam dan beruzlah… yang mana semuanya itu pada hakikatnya ada sandarannya daripada agama. Berdiam diri sandarannya adalah daripada saranan syarak terhadap berpaling dari perkara yang melalaikan. Berlapar diri juga pada asalnya adalah daripada saranan syarak terhadap memperbanyakkan puasa sunat. Adapun berjaga malam itu pula asalnya adalah qiyamullail. Uzlah pula asalnya adalah menjaga diri daripada menyakiti diri sendiri dan menjaga diri sendiri. Kalaulah perlaksanaan secara praktikal berlandaskan batasan-batasan syarak, maka ia adalah sangat baik.

Akan tetapi, idea dakwah sufiyyah ini tidak terhenti kepada konteks suluk dan tarbiah sahaja, yang mana kalau ianya berdiri di atas konteks tersebut semata-mata, maka ia benar-benar membawa kebaikan kepada manusia. Akan tetapi, idea dakwah sufiyyah ini telah mengalami perkembangan berbanding generasi yang awal, iaitu dalam meluahkan perasaan-perasaan hati dan kehadiran hati, sehingga membawa kepada menggunakan bahasa yang terkandung dalam ilmu falsafah, mantiq dan sebagainya yang diwarisi daripada umat-umat terdahulu dan pemikiran mereka. Maka, timbul percampuran antara yang dari agama dan yang bukan dari agama. Perkara ini membuka ruang yang luas bagi orang zindiq, athies dan orang sesat dari sudut pandangan dan aqidah, untuk memasuki perbahasan-perbahasan tersebut (perbahasan zauqi/perasaan hati) atas nama tasawwuf, dakwah kepada zuhud dan kehendak untuk mencapai natijah kerohanian yang tinggi. Ini menyebabkan setiap buku yang ditulis dan setiap perkataan mereka yang diungkap perlu diniai dengan penilaian yang mendalam bagi mereka yang mendalami ilmu agama Allah dan menjaga keaslian agama Islam tersebut.

Setelah itu, datang zaman di mana timbul pembentukan amali (manhaj tarbiah sufi yang lebih tersusun dan teliti), maka timbullah kelompok-kelompok dalam golongan sufi, yang mana setiap daripada mereka berpegang dengan manhaj dan uslub masing-masing dalam tarbiah. Kemudian, masuk pula campur tangan golongan politik dalam pergerakan-pergerakan sufit tersebut. Maka, ada daripada mereka yang dibentuk semata-mata untuk golongan askar, dan sebahagiannya untuk persatuan tertentu. Maka, berlalulah perubahan demi perubahan dalam manhaj dakwah sufi, sehinggalah apa yang dapat kita lihat sekarang di Mesir, daripada para sheikh tarikat sufiyyah, para pengikutnya dan sebagainya.

Tidak dapat dinafikan bahawasanya tasawwuf dan tarikat-tarikat sufi merupakan antara faktor terbesar dalam penyebaran Islam di banyak negara asing, yang mana, tidakkan pernah sampai Islam ke tempat-tempat tersebut melainkan dengan tangan golongan pendakwah sufi tersebut. Ia sepertimana yang berlaku di negara-negara Afrika, dan negara-negara di Asia (India, Malaysia, Indonesia, Filipina dan sebagainya).

Tidak syak lagi bahawasanya dengan berpegang kepada kaedah-kaedah tasawwuf dalam bidang tarbia dan suluk membawa kesan yang sangat kuat dalam jiwa dan hati seseorang. Bahkan, kata-kata para sufi dalam bab tarbiah ini mempunyai kesan yang sangat mendalam, yang tidak akan didapati daripada kata-kata selain daripada golongan sufi…

Tetapi, percampuran di dalam golongan sufi (ada yang sekadar mendakwa sufi tetapi tidak ikut manhaj sufi) merosakkan banyak manfaat yang sepatutnya dapat diambil daripadanya. Adalah kewajipan bagi golongan musleh (pembaiki masyarakat) memikirkan sesuatu untuk memurnikan semula golongan sufi (daripada para pendakwa sufi yang tidak mengikut manhaj sufi sebenar). Adapun pengislahan dalam kelompok sufi adalah sangat mudah, kerana di sisi mereka (para sufi) ada persediaan yang sempurna dalam perlaksanaan untuk mengislahkan golongan sufi itu sendiri. Bahkan, boleh jadi, para sufilah (yang sebenar) yang paling hampir dengan mereka (para pendakwa sufi, kerana mereka memahami kekeliruan para pendakwa sufi) jika mereka boleh berdepan dengan mereka yang terkeliru tersebut dengan cara yang sesuai. Hal ini (untuk mengislahkan manhaj sufi dan seterusnya mengembalikan kesan manhaj sufi dalam segenap masyarakat) hanya memerlukan sebilangan kecil daripada para ulama' solihin 'amilin, para pendakwah yang jujur lagi ikhlas dalam membuat penyelidikan terhadap masalah masyarakat, sehingga membawa kepada revolusi praktikal (gabungan ulama' dan para pendakwah yang jujur dan ikhlas) sehingga dapat memurnikan semula golongan sufi khususnya daripada kesamaran yang ditimbulkan oleh segelintir pihak di dalamnya, seterusnya memimpin masyarakat dalam negara dengan pimpinan yang baik.

Saya masih ingat bahawasanya Sayyid Taufiq Al-Bakri r.a. juga turut melahirkan pemikiran sebegini (islah manhaj sufiyyah dalam membentuk masyarakat Islam umumnya), dan beliau juga sudahpun membuat banyak penyelidikan secara ilmiah dan praktikal dengan berjumpa para pimpinan tarikat, lalu beliau juga telahpun mengarang buku dalam bab (tajdid manhaj dakwah sufiyyah) ini, tetapi tidak sempurna idea tersebut dan tidak diambil berat setelah itu oleh para sheikh yang lain. Saya juga masih ingat, antara mereka (golongan sufi) yang juga mencetuskan pemikiran ini adalah Sheikh Abdullah 'Afifi r.a. yang sangat mementingkan persoalan ini, sehingga membawa masalah islah ini kepada para ulama' Al-Azhar dan ulama' Islam yang lain. Akan tetapi, setakat ini (setakat zaman Imam Al-Banna), ia sekadar suatu pemikiran secara teori, tanpa diterjemahkan dalam bentuk praktikal. Jika Allah s.w.t. kehendaki kebaikan (bagi umat Islam), jika Al-Azhar mengabungkan kekuatan ilmiah yang ia miliki dengan kekuatan kerohanian tarikat-tarikat sufi, serta digabungkan pula dengan kekuatan jamaah-jamaah Islam yang melaksanakan praktikalnya, maka umat Islam ini sudah tidah ada tolok bandingannya lagi. Umat Islam akan memberi cabaran, bukan dicabar, memimpin dan bukan dipimpin, memberi kesan dan bukan terkesan dan memberi tunjuk ajar kepada masyarakat sesat kepada kebenaran.

(Sebahagian tulisan Imam Hasan Al-Banna dalam buku Muzakkirat fi Ad-Da'wah wa Ad-Du'at)

Penulis : Mukhlis 101


Rabu, Julai 28, 2010

Imam Hassan Al-Banna dan Pandangannya Tentang Tasawuf

Sebuah artikel yang ditulis oleh al-Imam al-Ra’id Syeikh al-Allamah Muhaddis Zaki Ibrahim rahimahullah berkenaan pertentangan yang berlaku di antara Jamaah al-Ikhwan al-Muslimun dan golongan Sufi di Mesir seperti yang diwara-warakan oleh wartawan Majalah Tahrir. Jamaah al-Ikhwan al-Muslimun dikatakan sering mengatakan kepada golongan sufi bahawa jalan yang di bawa oleh ulama sufi adalah salah dan menyeleweng daripada jalan sebenar Islam.

Maka al-Imam Zaki Ibrahim rahimahullah, menulis artikel tersebut menerangkan hakikat sebenar Tasawuf menurut pandangan al-Imam Hasan al-Banna dan al-Ikhwan al-Muslimun. Syeikh Zaki Ibrahim menyebutkan, jika Tasawuf Islami dikatakan bid’ah yang sesat maka Imam al-Banna juga merupakan orang yang sesat dan Jamaah al-Ikhwan al-Muslimun sejak ditubuhkan sehingga kematian Imam boleh dianggap sesat.

Kata Syeikh Zaki lagi: Imam al-Banna adalah salah satu hasil yang lahir daripada kelompok halaqah Zikir Tariqat Syazuliyah,ditarbiah dengan acuan Tariqat Syazuliyah. Malah beliau membawa manhaj Ikhwan dengan apa yang terkandung di dalam Tariqat Syazuliyah itu sendiri. Ketika majalah pertama al-Ikhwan al-Muslimun diterbitkan dikhususkan satu bahagian di dalamnya untuk Tasawuf yang dikarang sendiri oleh al-Imam Hassan al-Banna.

Kata Syeikh Zaki Ibrahim lagi: “Aku sendiri pernah menghadiri majlis ibadah gologan Sufi bersama al-Imam Hassan al-Banna”. Perkara sebegini diteruskan oleh Imam al-Banna dan perkara tersebut boleh kita dapati sekarang di dalam penulisan-penulisan beliau yang masih kekal seperti Ma’surat , melazimkan kepada ahli gerakan melaksanakan zikir dan wirid dan lain-lain.

Keluarga Imam al-Banna juga terkenal sebagai sebuah keluarga sufi. Bapa beliau sendiri merupakan seorang ulama Hadis yang hebat dan juga Sufi yang masyhur. Saudara kandung beliau juga iaitu Syeikh Abdul Rahman al-Banna juga merupakan salah seorang penggerak utama Tariqat Syazuliyah.

Saya tidaklah menukilkan satu persatu kalam Syeikh al-Allamah Zaki Ibrahim rahimahullah tentang hakikat ini. Penjelasan sebegini sudah jelas bagi menerangkan bahawa al-Imam al-Banna rahimahullah adalah golongan Sufi yang menjadi penggerak kepada Gerakan Islam terbesar di dunia. Tohmahan yang mengatakan bahawa golongan sufi tidak bergerak menyokong gerakan Islam adalah satu tohmahan yang tidak berasas.

Jika kita menyedari hakikat ini, maka tentu kita dapat berfikir dengan baik. Golongan yang hebat sebegini, hakikatnya dibentuk dengan acuan yang satu. Duduk bersama orang-orang soleh, belajar dengan para ulama dan belajar dengan acuan ahlussunnah yang benar adalah perkara yang tidak boleh tidak mesti dilakukan oleh seorang yang ingin menjadikannya sebagai Ahli Gerakan Islam yang sebenar.

Saya sangat terkilan dengan sebahagian pelajar yang berada di Mesir, yang kononnya ingin mengambil acuan Ikhwan al-Muslimun dan sering menimbulkan kebobrokkan pemikiran dikalangan mahasisiwa al-Azhar dan sahabat-sahabat perubatan, pernah menyebutkan kepada salah seorang teman saya dengan mengatakan bahawa: Ilmu-ilmu yang ada di Mesir ini adalah ilmu yang mentah.Kalau tauhid, fiqh dan sebagainya, di Malaysia pun kita boleh dapatkan perkara tersebut. Kita datang ke Mesir nie sebenarnya nak ambil selain daripada ilmu mentah nie,ada sesuatu yang lebih istimewa iaitu Ilmu Gerakan Ikhwan al-Muslimun.

Saya ingin berpesan kepada golongan yang semangat “tak tentu hala” sebegini(seperti loghat Kedah), agar berhati-hati bila mengeluarkan perkataan. Jangan di sebabkan semangat tanpa ilmu sebegini (yang hanya berpada dengan usrah-usrah yang kononnya lebih baik daripada usrah yang dibawa oleh Persatuan Pelajar disini iaitu PMRAM)menyebabkan kalian hilang arah sebenar datang ke Mesir. Pemikiran-pemikiran songsang akan makin merebak di bumi Malaysia jika pemikiran yang mengatakan “ ilmu di al-Azhar adalah ilmu Mentah” sebegini masih dikekalkan di dalam kesatuan kamu. Saya tidak menjuruskan perkataan saya ini kepada sesiapa. Bak kata pepatah: Siapa yang makan Cili maka dialah yang akan merasa pedasnya.

Ingat, semangat tanpa ilmu tidak mencukupi . Ambillah contoh sebenar Imam al-Banna rahimahullah. Kaji semula Manhaj dan perjuangan asal Imam al-Banna.Moga kita semua mendapat petunjuk daripada Allah taala.Aminn.

~Artikel asal daripada blog Ustaz Nazrul Nasir bekas kempimpinan PMRAM. Boleh rujuk di sini.

Khamis, Julai 08, 2010

Menghayati Keistimewaan Bulan Rejab

Jika diperhatikan, manusia berbeza-beza dalam menyambut kedatangan bulan Rejab setiap tahun.

Ada yang langsung tidak menyedari datang dan perginya Rejab kerana terlampau sibuk dan kurang peka pula pada perjalanan takwim Islam. Tidak kurang yang menyambut kedatangan Rejab dengan penuh gembira dan bersemangat serta mempertingkatkan amalan di dalamnya.

Ada pula yang menyambutnya dengan terlampau mempermasalahkan dan mempertikaikan keistimewaannya dan kewajaran menambahkan amalan padanya.

Kita merasakan bahawa mereka yang paling beruntung adalah mereka yang memahami dan mengenali Rejab serta menunaikan hak hari-harinya sebagaimana yang selayaknya tanpa melampau atau mencuaikan.

Bagi kebanyakan mereka yang meraikan kedatangan Rejab, bulan ini dirasakan begitu istimewa kerana ia menandakan hampir ketibaan tetamu agung, Ramadan al-Mubarak.

Ramadan sudah tentulah dirindui dan dinanti-nanti oleh setiap mereka yang beriman dan para pencinta Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Tempias kecintaan kita kepada Ramadan turut terkena pada Rejab dan Syaaban sebagai pengapit dan pendamping setia kepada Ramadan.

Keterkaitan dalam keberkatan bulan-bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan terlihat dalam sepotong doa yang diriwayatkan oleh Anas r.a daripada Rasulullah SAW yang bererti, "Ya Allah, Berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan Ramadan". (diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam al-Syua'aab, Ibn Abi al-Dunya dan Ibn Sunniy).

Sebenarnya keistimewaan Rejab turut disebut di dalam al-Quran dengan menyenaraikannya sebagai salah satu daripada empat bulan haram. Allah berfirman yang maksud-Nya: Sesungguhnya bilangan bulan disisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram.... (at-Taubah: 36)

Para ulama bersepakat Rejab adalah antara bulan yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam ayat ini dan beberapa ayat lain. Jelas bahawa Allah SWT sendiri di dalam al-Quran telah memuliakan bulan Rejab dengan mengisytiharkannya sebagai salah satu daripada bulan-bulan haram.

Mengikut pandangan yang masyhur di kalangan ulama, Allah SWT juga telah memuliakan bulan Rejab dengan berlakunya di antara peristiwa terpenting dalam sirah Nabi SAW iaitu peristiwa Israk dan Mikraj di dalamnya.

Sebagai golongan hamba-Nya yang terpilih, keistimewaan bulan Rejab tidak terlepas daripada pandangan ulama baik dahulu dan sekarang. Mereka telah menunjukkan contoh serta menggalakkan kita mempertingkatkan amalan dengan bersangka baik dengan Allah SWT bahawa dengan keberkatan bulan ini ganjaran amalan dan rahmat Allah SWT akan berlipat ganda. (Imam Ibn Jarir al-Tobari ada meriwayatkan pandangan Ibn Abbas r.a mengenai hal ini dalam tafsirnya).

Jika dikira hubungan Rejab, Syaaban dan Ramadan memang sesuailah kita lebih banyak berpuasa dan solat sunat, tilawah al-Quran, berzikir dan bersedekah sebagai membina momentum ke arah penghayatan Ramadan yang lebih cemerlang.

Sebahagian ulama menganjurkan kita membanyakkan istighfar di bulan Rejab dengan semangat al-Takhalliy iaitu untuk mengosongkan atau membersihkan diri kita. Ini disusuli penganjuran kita memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi SAW di bulan Syaaban sebagai fasa al-Tahalliy yang bererti mengisi atau memperhiaskan diri sesudah diri kita dikosongkan dan dibersihkan dengan istighfar dan taubat.

Sesudah kita bersiap dengan membersih dan memperhiaskan diri barulah layak untuk kita bertaqarrub langsung dengan Allah SWT (al-Tajalliy) dengan memperbanyakkan tilawah al-Quran, sepanjang Ramadan.

Jika direnungi, anjuran para ulama ini sangat mendalam falsafah dan hikmahnya demi membantu kita menghayati bulan-bulan yang mulia ini dengan lebih bermakna.

Jika menjadi keyakinan setiap mukmin bahawa hidup dunia ini sebagai suatu ujian atau peperiksaan besar, maka Ramadan dan segala hari dan bulan yang istimewa dalam Islam bolehlah dianggap sebagai kelas-kelas tambahan atau ujian-ujian latihan. Ia akan mendorong kita sentiasa peka dan siap-siaga dalam mengharungi proses ujian tersebut.

Dengan segala kelemahan yang ada pada diri insan adalah sukar untuk menempah kejayaan dalam ujian kehidupan ini jika kita tidak dapat menumpang belas ihsan dan rahmat Ilahi. Dan sememangnya Allah SWT maha kaya dengan sifat rahim, ihsan dan adil serta segala sifat-sifat kesempurnaan.

Di antara gambaran ihsan dan keadilan Allah SWT bagi kita para hambanya yang diletakkan dalam ujian yang getir ini, kita tidaklah dibiarkan sendirian tanpa panduan. Selari dengan fitrah manusia sukakan kepelbagaian, silih-berganti hari dan bulan Islam berserta dengan kaitannya dengan sirah Nabi memberi ruang untuk kita memperkukuhkan tautan kita dengan Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.

Di bulan Rejab ini banyak masjid, surau dan institusi mengambil peluang mengadakan ceramah dan majlis Israk Mikraj. Perbuatan ini jika dianggap sebagai suatu adat dan tradisi untuk menghimpunkan orang ramai bagi mendekatkan diri mereka dengan agama tanpa dianggap sebagai suatu pensyariatan adalah suatu amalan yang terpuji dan tidak bercanggah dengan mana-mana usul agama.

Malah para pendakwah dan mereka yang cintakan agama sepatutnya sentiasa mencari munasabah bagi menghimpun orang-ramai dalam majlis-majlis yang dipenuhi dengan penambahan ilmu, peringatan, doa dan zikir.

Inilah antara pandangan tokoh besar ulama dunia Islam, al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki al-Hasani r.a dalam tulisan khususnya mengenai Israk dan Mikraj bertajuk al-Anwar al-Bahiyyah min Isra' wa Mi'raj Khayr al-Bariyyah.

Beliau turut menegur golongan yang menentang penganjuran majlis sedemikian dengan katanya: "Memanfaatkan perhimpunan orang ramai dengan memberikan peringatan, petunjuk, nasihat dan mengarahkan mereka kepada kebaikan adalah lebih utama daripada menghalang, menolak dan mengingkari perhimpunan mereka dengan alasan yang tidak ke mana. Selama ini pun, apa yang dapat dilihat tegahan mereka tidak pun memberikan sebarang kesan".

Sememangnya peristiwa Israk dan Mikraj menyajikan pelbagai pengajaran untuk memperkukuhkan lagi ikatan iman umat. Selain antara mukjizat besar yang membuktikan kenabian Nabi kita SAW, ia telah menjadi saat umat Islam dianugerahi ibadah solat sebagai Mikraj roh kepada Allah setiap hari.

Ia juga memperjelaskan keistimewaan kedudukan kita sebagai umat Nabi SAW dengan sebab menumpang keistimewaan dan keutamaan Nabi SAW yang menjadi Imam segala Nabi dan Rasul. Melalui peristiwa tersebut kita juga diperingatkan realiti kehidupan akhirat dengan balasan azab dan nikmat yang akhirnya meletakkan segala yang kita lalui dan punyai dalam kehidupan ini dalam perspektifnya yang sebenar.

Inilah sekadar segelintir perkara iktibar di sebalik kehadiran bulan Rejab dan peristiwa Israk dan Mikraj yang wajar diperincikan lagi dan diulang-ulangkan.

Malangnya ada juga penceramah yang kurang berhati-hati lalu dalam membicarakan tentang peristiwa ini turut membahaskan isu-isu kontroversi seperti mensabitkan tempat dan sifat bagi Allah SWT, Maha Suci Allah daripada menyerupai makhluknya.

Tokoh ulama mutakhir, Sheikh Yusuf al-Dijwi ada menegur tentang perkara ini dalam himpunan tulisan dan fatwanya.

Beliau menegaskan, adalah tidak wajar ayat-ayat mutashabihat berkaitan dengan isu ini dibicarakan kecuali di dalam majlis-majlis khusus di kalangan para ulama berdasarkan keperluan. (Maqalaat wa Fatawa al-Shaikh Yusuf al-Dijwi, (Kaherah, Dar al-Basoir, 2006) Jld 2, ms.724)

Semoga kita dikurniakan kesedaran, kesihatan, semangat dan himmah yang tinggi dalam naungan taufik untuk menunaikan hak setiap hari yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Semoga bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan kita tahun kita lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Sumber :PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


Ahad, Januari 24, 2010

Anak itu amanah

Di sebuah sekolah kebangsaan...

Kisah 1
Ustazah : Kamu tak mengaji ke di rumah?
Murid A : Mak saya tak nak hantar saya pergi mengaji.

Kisah 2
Murid B : Ustazah, ada satu pagi tu saya ingatkan mak saya pergi bersenam, rupenye mak saya main game..

Kisah 3
Ustazah : Betul ke kamu pernah lari dari rumah?
Murid C : Betul (dengan muka sedikit tunduk)
Ustazah : Kenapa?
Murid C : Ayah saya panas baran. Dia akan pukul saya. Saya takut.

Kisah 4
Murid D : Ustazah, saya tak pernah solat jemaah sebab tak pernah pergi masjid?
Ustazah : Di rumah?
Murid D : Camne nak solat ustazah, ayah saya pun tak pernah solat. Solat jumaat pun tak pernah pergi.

Itulah antara senario yang benar-benar berlaku dan tidak mustahil ianya berlaku hampir di semua sekolah kebangsaan tidak kira di pedalaman mahupun di bandar. Melihat muka mereka yang begitu naif membuatkan aku merasa sangat kasihan dan terasa besarnya amanah yang perlu dipikul dalam mentarbiyah mereka untuk menjadi seorang muslim yang sebenar. Betapa jujurnya mereka dan pastinya itu bukanlah satu cerita rekaan semata-mata...Hakikatnya, proses pentarbiyahan ini akan menjadi agak sukar andai tidak mendapat kerjasama daripada ibu bapa dan masyarakat sekeliling. Fokusnya di sini adalah galakan dan bimbingan ibu bapa sejak mereka kecil sehinggalah meningkat dewasa.

Suka untuk aku berkongsi beberapa kisah/kata-kata teladan untuk tatapan dan renungan kita semua...

Teladan 1
Abul Laits As-Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Hurairah r.a. berkata Nabi Muhammad SAW bersabda: "Hak anak yang harus dilaksanakan oleh ibu bapa ada tiga iaitu: Memilihkan nama yang baik ketika lahir; Mengajari kitab Allah SWT (Memberi didikan agama); Harus dikahwinkan jika telah dewasa."

Teladan 2
Seorang datang kepada Saidina Umar r.a. lalu berkata: "Puteraku ini durhaka kepadaku." Maka Umar r.a. berkata kepada anak lelaki itu: "Apakah kau tidak takut kepada Allah SWT? Engkau telah berbuat durhaka terhadap ayahmu, engkau tahu kewajipan anak untuk orang tuanya ......(begini dan begitu)." Lalu anak itu bertanya: "Ya Amirul Mukminin, apakah anak itu tidak berhak terhadap ayahnya?" Jawab Umar: "Ada hak yakni harus memilihkan ibu yang bangsawan, jangan sampai tercela kerana ibunya, harus memberi nama yang baik, harus mengajari kitab Allah SWT." Maka berkata anak itu: "Demi Allah, dia tidak memilihkan untukku ibuku, dia membeli budak wanita dengan harga 400 dirham dan itu ibuku, dia tidak memberi nama yang baik untukku, saya dinamai kelawar jantan dan saya tidak diajari kitab Allah SWT walau satu ayat." Maka Umar r.a. menoleh kepada ayahnya dan berkata: "Engkau telah durhaka kepada anakmu sebelum ia durhaka kepadamu. Pergilah engkau dari sini!"

Teladan 3
Abul Laits berkata: "Saya telah mendengar ayahku bercerita dari Abu Hafsh Alyaskandi seorang ulama di Samarqand ketika didatangi oleh seorang yang mengeluh kerana dipukul oleh anaknya hingga sakit. Abu Hafsh berkata: "SubhanAllah, apakah ada anak yang memukul ayahnya?" Jawab lelaki itu: "Benar, saya dipukul hingga sakit." Lalu ditanya: "Apakah kau tidak mendidik anakmu dengan adab dan sopan?" Jawab lelaki itu: "Tidak." "Apakah sudah diajari Al-Quran?" ditanya lagi. Jawab lelaki itu: "Tidak." "Lalu apakah pekerjaan anak mu itu?" "Anakku itu bertani," jawab lelaki itu. Abi Hafsh berkata: "Engkau tahu mengapakah dia memukul engkau?" Jawabnya: "Tidak." Abu Hafsh berkata: "Mungkin ketika ia sedang di atas himar menuju ke sawah ladang menyanyi dan bersiul sedang di kanan kirinya kerbau dan lembu dan di belakangnya anjing, tiba-tiba engkau menegur padanya, kerana ia mengira engkau itu lembu sedang mengganggu maka ia memukul engkau, sungguh beruntung dan ucapkan Alhamdulillah kerana ia tidak memukul kepalamu."

Ahad, Januari 17, 2010

Dakwah Pemain Bola


Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.
(Surah Al-Baqarah : 208)

Di sebuah sekolah di pinggir bandar...di dalam kelas tingkatan empat

Guru/Muallimah : Naim, apa cita-cita enta?
Naim : Pemain bola
Muallimah : Boleh tapi mesti jadi pemain bola yang profesional dan bertaqwa
Teringat bekas anak muridku yang memang 'kaki bola'. Aku tidak berniat untuk mematahkan semangatnya atau menolak impiannya kerana setiap orang mempunyai kelebihan dan cita-cita masing-masing. Walau bagaimanapun untuk menjadi apa pun, perlulah ditetapkan matlamat sebagai seorang profesional yang bertaqwa, baru kita akan menjadi 'lain daripada yang lain'...

Apa yang menarik perhatianku baru-baru ini mengenai kisah seorang jurulatih bola sepak Mesir, Hassan Shehata yang hanya mahukan pemain yang mematuhi ajaran Islam dan pemilihan pasukan akan dibuat berdasarkan keimanan dan kemahiran. Kesemua pemain pasukan Mesir yang akan mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Piala Kebangsaan Afrika di Angola adalah beragama Islam. (sumber : Utusan Malaysia, 16 Januari 2010)

Selama bertahun-tahun atlet negara tersebut menunjukkan ketaqwaan mereka di hadapan peminat-peminat dan media dengan bersujud sebagai tanda syukur apabila menjaringkan gol atau memenangi sesuatu kejohanan serta menunaikan solat sebelum sesuatu perlawanan. Menurut Hassan, kemahiran sahaja tidak menjamin seseorang itu dipilih menyertai skuad kebangsaan. Menurutnya lagi, 'kewarakan' adalah kategori utama dalam pemilihan. Tanpanya, seseorang pemain itu tidak akan dipilih walaupun berpotensi tinggi.

Sebagai contoh, Muhammad Zidan, penyerang Mesir, pada mulanya adalah seorang yang tidak mengendahkan solat, justeru Hassan tidak memilihnya. Namun, sebelum perlawanan menentang Brazil, Hassan memujuknya untuk solat dan menjelaskan tentang kepentingan solat kepadanya. Mulai saat itu, Zidan melaksanakan solatnya dengan teratur.

Daripada sumber lain (http://www.eramuslim.com/) pula, apa yang menarik mengenai skuad di bawah bimbingan jurulatih ini ialah mereka alan melaksanakan solat pada waktunya, bahkan jika sedang dalam latihan, mereka berkumpul di padang untuk melaksanakan solat berjemaah dan selepas itu menyambung sesi latihan.

Selain itu, sesetengah daripada kita pasti pernah mendengar nama Muhammad Abu Trika iaitu salah seorang bintang pasukan Mesir yang mencetuskan kesedaran masyarakat sedunia apabila melakukan sujud syukur selepas menjaringkan gol dan memakai baju menyokong Palestin. Aksi Abu Trika itu telah mengundang komentar positif daripada Mufti Kongo Syeikh Abdullah Mangala Luaba kerana menurutnya, aksi tersebut merupakan salah satu penyebab banyaknya warga Kongo memeluk agama Islam.

Menurut Mufti tersebut : "Didorong rasa ingin tahu, mereka datang kepada kami dan meminta kami menjelaskan mengapa hal ini dilakukan oleh pasukan Mesir dengan bersujud sewaktu selesai menjaringkan gol, kami jelaskan kepada mereka bahwa itulah sujud syukur kepada Allah Yang Maha Esa agar para pemain selalu mendapat berkat dan rahmat, dan Islam menganjurkan hal itu, mereka akhirnya banyak bertanya tentang Islam dan Syariah, dan kami jelaskan hal itu semua kepada mereka sehingga banyak dari mereka akhirnya menerima Islam dan masuk Islam."

Oleh itu, hal ini perlu diberi perhatian sewajarnya bagi sesiapa yang terbabit atau ingin terlibat dalam bidang ini (arena bola sepak). Tidak ada makna sesuatu anugerah di peringkat nasional hatta antarabangsa, andai peranan UTAMA kita sebagai daie tidak kita laksanakan meskipun ianya hanyalah usaha yang nampak kecik tetapi memberi impak yang sangat besar. Atau adakah kita hanya gah berlabelkan Islam di dalam perlembagaan atau di dalam MyKad sahaja?

Sekadar renungan bersama....

Jumaat, Disember 18, 2009

Kaitan 1 Muharram dengan Hijrah Rasulullah Sollallahu'alaihi Wasallam

Setiap kali menjelangnya awal Muharram, kita semua akan diingatkan dengan peristiwa hijrah Rasul. Ini kerana peristiwa hijrah Rasul merupakan satu perkara yang sangat penting dalam sejarah, bukan sahaja kepada kita kaum muslimin, bahkan juga alam keseluruhannya. Betapa tidak, hijrah telah mengubah corak peradaban dunia. Dan kesannya masih boleh dilihat dan dikecapi sehingga hari ini.

Umat Islam telah menjadikan peristiwa hijrah Rasul sebagai permulaan tahun dalam kalendar Islam. Kerana itu, setiap kali tahun Islam disebut, ia akan dinyatakan dengan hijrah. Sebagai contoh: “tahun 1429H akan meninggalkan kita tidak lama lagi, dan tahun 1430H pula akan menyusul”. Huruf H yang diletakkan di hujung angka tahun itu adalah singkatan kepada hijrah, sebagaimana yang kita semua maklum.

Disebabkan permulaan tahun hijrah adalah pada bulan Muharram, mungkin ramai yang keliru dan menganggap bahawa hijrah Rasul berlaku pada 1hb Muharram. Sebenarnya hijrah Rasul bukanlah berlaku pada bulan Muharram, bahkan ia berlaku pada bulan Rabiul Awwal. Syeikh Sofyurrahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. meninggalkan rumah pada malam 27 Safar tahun ke 14 daripada kenabian. Ia bersamaan 12 atau 13hb September 622M. Kemudian, baginda bersembunyi di dalam gua selama tiga malam, iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. Dan pada malam Isnin, 1 Rabiul Awwal, bersamaan 16 September 622M, baginda berdua beredar meninggalkan gua bersama dengan Abdullah bin Uraiqith, yang memandu jalan. Baginda sampai di Quba' pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, tahun pertama Hijrah. Ia bersamaan dengan 23 September 622M. Baginda berada di Quba' selama empat hari, iaitu hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Pada hari kelima, iaitu hari Jumaat, 12 Rabiul Awwal, baginda sampai ke Madinah. (Ringkasan kitab ar-Rahiqul Makhtum, m/s 154-166).

Persoalannya, kenapakah hijrah dimulakan pada bulan Muharram, sedangkan hijrah Rasul berlaku pada bulan Rabiul Awwal? Sebenarnya, permulaan bilangan tahun hijrah, sekalipun dihitung bermula dengan hijrah Rasul, namun ia hanya bermula pada zaman pemerintahan Saidina Umar r.a. iaitu pada tahun ke 17 Hijrah. Ada juga yang menyatakan pada Rabiul Awwal tahun ke 16 hijrah (1). Sebelum dari tarikh tersebut, umat Islam sudahpun mempunyai nama-nama bulan, namun mereka tidak menentukan tahunnya.

Terdapat banyak faktor yang mendorong Saidina Umar menentukan tarikh, antaranya ialah kerana kerana Saidina Umar menerima satu surat tentang pengumpulan harta, dan ia bertulis pada bulan Sya'ban. Beliau bertanya: Sya'ban yang mana satu, Sya'ban yang lepas, atau Sya'ban sekarang, atau Sya'ban akan datang? Ada juga yang menyatakan bahawa orang pertama yang menulis tentang tarikh ialah Ya'la bin Umayyah r.a.. Beliau telah menulis surat dari Yaman, kepada Saidina Umar dengan menulis tarikh, dan Saidina Umar menganggap baik perkara tersebut, akhirnya beliau ingin memulakan penentuan tarikh. Antara faktornya juga ialah Abu Musa al-Asy'ari telah menulis satu surat kepada Saidina Umar, menyatakan bahawa telah sampai kepada beliau banyak surat-surat daripada Saidina Umar tanpa tarikh (dan ini boleh menimbulkan kekeliruan). Lalu Saidina Umar mengumpulkan para sahabat untuk membincangkan tentang penentuan tarikh.

Setelah Saidina Umar r.a. mengumpulkan para sahabat untuk menentukan permulaan tarikh, timbul empat cadangan dalam menentukan permulaan tahun Islam. Empat perkara tersebut ialah daripada tarikh kelahiran baginda, atau dari tarikh baginda dibangkitkan menjadi rasul, dari tarikh hijrah atau dari tarikh kewafatan baginda. Lalu akhirnya mereka sepakat untuk menjadikan hijrah Rasul sebagai asas permulaan tarikh Islam. Mereka tidak menjadikan tarikh kelahiran dan kebangkitan sebagai asas, kerana terdapat khilaf tentang bilakah kedua-dua peristiwa tersebut berlaku. Dan tarikh kewafatan pula, sekalipun jelas waktunya, adalah tidak sesuai dijadikan permulaan tarikh, kerana ia merupakan tarikh yang amat menyedihkan. Jadi tidak sesuai tarikh yang sedar diambil untuk diulang-ulangi sebutannya. Kerana itulah peristiwa hijrah adalah peristiwa yang paling sesuai untuk dijadikan asas permulaan tarikh. Kerana inilah, bila timbulnya pelbagai pendapat tentang bilakah asas yang sesuai untuk dimulakan tarikh, Saidina Umar menyatakan kata-katanya yang masyhur,
الهجرة فرقت بين الحق والباطل، فأرخوا بها
“ Hijrahlah yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Maka jadikanlah ia asas permulaan tarikh ”.

Berkata al-Imam as-Suhaili, para sahabat sebenarnya mengambil asas tahun hijrah berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah Ayat 108 yang bermaksud:
“ Sesungguhnya masjid yang diasaskan di atas ketaqwaan (Masjid Quba') sejak dari hari pertama adalah lebih patut kamu bersolat di dalamnya ”. Surah at-Taubah: 108. Terangnya lagi: “ Ini kerana sudah jelas bahawa hari tersebut bukanlah hari pertama yang sebenar (permulaan umur dunia). Bahkan hari pertama yang disandarkan kepada sesuatu yang tidak dinyatakan dalam ayat tersebut, iaitu zaman pertama kemenangan Islam, dan zaman pertama Nabi s.a.w. boleh beribadah dengan aman (tanpa sebarang gangguan) dan zaman permulaan pembinaan masjid ”. Kerana itulah sepakat para sahabat memulakan tahun Islam dengan tarikh hijrah, iaitu hari pertama Nabi s.a.w. dan para sahabat memasuki Madinah.

Dan setelah para sahabat sepakat untuk menjadikan peristiwa hijrah sebagai asas permulaan tahun Islam, mereka membincangkan pula, tentang dari bulan manakah kita akan mulakan perhitungan tahun. Maka timbullah pelbagai pendapat. Ada yang mencadangkan supaya dimulakan dengan rejab, dan ada pula dengan ramadhan. Namun Saidina Usman mencadangkan supaya dimulakan dengan bulan muharram. Antara alasannya ialah ia adalah bulan haram (bulan yang dihormati oleh masyarakat arab, kerana diharamkan berperang padanya), dan ia juga adalah masa kembalinya para jemaah daripada menunaikan ibadah haji. Dan antara sahabat yang juga mencadangkan bulan muharram ialah Saidina Umar dan Saidina Ali. Akhirnya, mereka telah memilih bulan muharram sebagai permulaan tahun hijrah, dan bukannya rabiul awwal. Dan antara sebab yang mungkin paling tepat kerana memilih bulan muharram dan bukannya bulan rabiul awwal ialah, kerana permulaan keazaman untuk berhijrah adalah pada bulan muharram. Ini kerana perjanjian Aqabah berlaku pada bulan zulhijjah. Dan perjanjian tersebutlah yang membawa kepada peristiwa hijrah. Dan bulan pertama yang muncul setelah zulhijjah ialah muharram, kerana itu sesuai dijadikan muharram sebagai bulan pertama, kalendar tahun umat Islam.

Jalan Hijau - Jalan biasa dari Mekah ke Madinah

Jalan Merah - Jalan yang digunakan Nabi semasa Hijrah

Inilah sebahagian fakta yang berkaitan dengan persoalan tarikh hijrah. Semoga fakta ini, sedikit
sebanyak menghilangkan kekeliruan tentang persoalan bilakah sebenarnya berlaku peristiwa hijrah Nabi s.a.w. Hijrah sebenarnya mengingatkan kita tentang pengorbanan dan matlamat perjuangan umat Islam. Hijrah juga menginsafkan kita bahawa kita sentiasa bergerak menuju Allah SWT. Kerana itu kita sentiasa perlu menambahkan kebaikan dan amal soleh kita. Orang yang berhijrah adalah orang yang berusaha meninggalkan dosa-dosa dan maksiat. Dan perkara itu tidak akan tercapai melainkan dengan keazaman yang tinggi. Sama-samalah kita berhijrah kerana Allah untuk sampai kepada Allah. Dan ingatlah bahawa orang yang berhijrah sentiasa memerlukan bimbingan Allah dalam hijrahnya menuju Allah. Hijrah bukan kerana Allah adalh sia-sia,dan hijrah tanpa bimbingan Allah, tidak akan sampai ke destinasinya.

• Sumber utama artikel ini ialah kitab Fathul Bari, Syarah Sohih Bukhari. (Kitab Manaqib al-Ansar, bab at-Tarikh, juz 7, m/s 341, 342).

Sumber artikel daripada salah seorang pensyarah KIAS..

Sabtu, Oktober 24, 2009

Tips Menjelang Peperiksaan

Khas untuk mereka yang berkenaan...( sebahagian tips kuambil dari artikel Dato' Dr Fadzilah Kamsah dalam Majalah Solusi isu no 12)




Persediaan :

Persediaan Qalbi

Kesihatan rohani sangat penting utk menghasilkan otak yang cergas dan tajam. "Al-ilmu kannur - ilmu itu ibarat cahaya" ...cahaya hanya masuk ke dalam hati yang bersih.Kesimpulannya :
1. jauhila perkara-perkara maksiat dan mazmumah..contoh derhaka (tak mendengar kata) pada ibu bapa, ber'gossip', mengejek, gelaran yang tidak baik, 'dating' dan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah dan Rasul..

2. minta maaf pada semua orang, jumpa guru- minta halalkan ilmu dan maafkan orang lain (bukan masa hari raya je..)..

3. bagi yg susah nak mengingat apa yg telah dipelajari..cuba hafaz beberapa ayat atau surah dari Al-Quran..bila dah mula menghafaz ayat-ayat suci alQuran ni, secara tak langsung memudahkan kita mengingati fakta-fakta dalam pelajaran.

4. Qiamullail - bangun pada tengah malam...menguatkan keyakinan dan kemantapan jiwa. Amalkan solat2 sunat seperti tahajud, taubat, hajat, istikharah dan witir (sekurang-kurangnya)

Kisah benar seorang sahabat yang istiqomah dalam qiamullail...pernah bermimpi melihat soalan-soalan exam..dan akhirnya betul-betul keluar sepertimana yang dimimpi..salah satu cara Allah nak bantu hambaNya

Persediaan 'Aqli

1. mind setting - anggap peperiksaan sesuatu yang positif..teringat kata2 seorang pensyarah masa belajar dulu

Bila Allah bagi "ujian" tanda Allah sayang kita...jd saya nak bagi "ujian" kpd kamu tanda saya sayang kamu...Allah bagi ujian tiba-tiba, jadi saya nak bagi ujian pada kamu tanpa perlu diberitahu dahulu....( hehe...logik juga kan..)

2. Berlatih menjawab soalan seperti dalam peperiksaan sebenar
kadang-kadang soalannya berulang-ulang dan bagi mata pelajaran matematik, perlu kepada banyak latihan untuk memantapkan kemahiran yang ada

3. Kenal pasti kawan di sekitar anda di dewan peperiksaan
Perkara-perkara sebegini penting walaupun nampak agak remeh. Terutama calon peperiksaan yang ramai di dalam dewan ditambah dengan perasaan gemuruh menyebabkan calon tak jumpa tempat duduk sendiri.

Persediaan Jasadi

1. Kesihatan

"Al-'aqlus salim fi jismis salim - akal yang cerdas dari badan yang cergas". Antara cara untuk menjaga kesihatan ialah :

a) Tidur yang cukup - Pendekatan Imam Ghazali ialah 1/3 untuk belajar, 1/3 untuk rehat dan 1/3 untuk bermunajat kepada Pencipta

b) Jaga pemakanan - Firman Allah : Makanlah daripada makanan yang baik yang telah Kami berikan. (surah al-Baqarah 2:57)."Baik" di sini bermaksud sumber yang halal dan berkualiti.

c) Riadah - Riadah penting bagi melancarkan peredaran darah ke seluruh anggota badan. Ingat!Otak kita memerlukan oksigen dan glukosa untuk berfungsi dengan cemerlang.

2. Keselamatan

Jauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan dan kecelakaan pada diri.

p/s : Artikel ini khas buat anak-anak muridku yg akan menduduki SPM, yg akan menduduki peperiksaan akhir tahun, jua buat diriku dan sahabat2 yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi..inzar utk kita bersama...moga Allah berikan kejayaan utk kalian, diriku dan seluruh umat Islam yang sedang berjuang dalam menuntut ilmu...Untuk sahabat yang sudah menduduki atau sedang berhadapan dengan peperiksaan, bittaufiq wannajah...moga kejayaan milik kita bersama...Ameen..Insyaallah..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Nak Kenal Lagi??

Emel = alsalsabil@hotmail.com
YM = zanjabil27@yahoo.com
FS = laislamic@yahoo.com

Great Morning ©  Copyright by RaUDhaH Al-BaAn | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks