Memaparkan catatan dengan label Hukum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hukum. Papar semua catatan

Isnin, September 20, 2010

Puasa Enam : ...boleh disatukan dengan Puasa Qadha'?


MATLAMAT puasa jika dikerjakan dengan penuh penghayatan akan dapat membentuk manusia menjadi orang yang bertakwa sebagaimana perkara ini dijelaskan oleh Al-Quran.

Di samping itu puasa juga merupakan ibadat yang istimewa di sisi Allah Subhanahu Wataala kerana setiap ganjaran atau balasan kepada orang yang berpuasa diberikan dan dinilai oleh Allah Subhanahu Wataala sendiri sebagaimana yang disebut oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya :

"Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Allah Subhanahu Wataala berfirman : "Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya (dapat diperiksa sendiri dan dinilai baik buruknya), melainkan amalan puasa, maka sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) dan oleh sebab itu Aku sendirilah yang akan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa." (Hadis riwayat Bukhari).

Puasa Ramadan adalah diwajibkan kepada umat Islam pada setiap tahun berdasarkan ayat Al-Quran dan hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Begitu juga disunatkan ke atas orang Islam berpuasa sunat atau tathawwu’ di hari atau bulan yang lain seperti melakukan puasa ‘Asyura, hari ‘Arafah, puasa di bulan Syaaban, puasa mingguan pada hari Isnin dan Khamis, puasa enam hari pada bulan Syawal yang biasanya disebut sebagai puasa enam.

Pada siri Irsyad Hukum kali ini kita akan membicarakan mengenai beberapa perkara yang berhubung dengan puasa enam.

Puasa enam ialah puasa yang dikerjakan dengan berturut-turut atau berselang-selang sebanyak enam hari pada bulan Syawal selepas Hari Raya Fitrah.Puasa enam itu sunat dikerjakan oleh orang yang telah mengerjakan puasa Ramadan sebulan penuh dan juga sunat dikerjakan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syarak seperti haid dan nifas, musafir atau orang sakit. Manakala bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja adalah haram melakukan puasa enam kecuali setelah selesai mengqada puasanya. Namun ganjaran pahala puasa enam bagi orang yang tidak berpuasa penuh bulan Ramadan tidak sama dengan ganjaran pahala bagi orang yang mengerjakan puasa enam selepas mengerjakan puasa Ramadan sebulan penuh.

Sunat puasa enam ini berdasarkan sabda Baginda yang maksudnya :

"Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun." (Hadis riwayat Muslim).

Para ulama berselisih pendapat mengenai waktu atau masa mengerjakan puasa enam itu. Sebahagian besar ulama berpendapat puasa enam itu dilakukan dengan berturut-turut selepas Hari Raya mulai Hari Raya kedua dan seterusnya. Manakala ulama muta’akhirin pula berpendapat puasa enam itu harus dilakukan secara tidak berturut-turut seperti berselang-seli dan sebagainya selama dalam bulan Syawal. Walau bagaimanapun mengerjakannya dengan berturut-turut selepas Hari Raya adalah lebih afdal.

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari dalam bulan Syawal setelah berpuasa Ramadan sebulan penuh diibaratkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai berpuasa sepanjang tahun kerana sebulan puasa Ramadan itu menyamai puasa sepuluh bulan dan puasa enam pula menyamai dengan 60 hari atau dua bulan. Jika dicampurkan sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia setahun, itulah yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun. Perkara ini dijelaskan lagi dalam sebuah hadis, sabda Baginda yang maksudnya :

"Berpuasa sebulan (disamakan) dengan sepuluh bulan puasa, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan) dengan dua bulan puasa, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genap setahun." (Hadis riwayat Al-Darimi).

Berdasarkan hadis di atas juga, sebahagian ulama menjelaskan bahawa puasa enam hari dalam bulan Syawal diberikan ganjaran yang sama dengan ganjaran puasa di bulan Ramadan, kerana setiap kebajikan itu dibalas atau diberikan dengan sepuluh kali ganda. Sebagaimana juga mereka mengatakan : "Membaca Surah Al-Ikhlas itu sama dengan membaca sepertiga Al-Quran.

"KEWAJIPAN MENGQADA PUASA

Puasa Ramadan yang ditinggalkan adalah wajib diqada sebanyak hari yang ditinggalkan itu sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah dalam firman-Nya yang tafsirnya :

"Maka wajiblah dia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain." (Surah Al-Baqarah : 184).

Kewajipan mengqada puasa itu tidak kira sama ada puasa itu ditinggalkan dengan sengaja atau kerana keuzuran kecuali orang-orang yang benar-benar tidak berdaya mengerjakannya seperti orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh. Mereka tidak diwajibkan mengqada puasa yang ditinggalkan itu tetapi wajib membayar fidyah sebagai ganti puasa yang ditinggalkan. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu Wataala yang tafsirnya :

"Dan wajib atas orang-orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin." (Surah Al-Baqarah : 184).

Dalam mengerjakan qada puasa ini, para ulama berpendapat bahawa orang-orang yang meninggalkan puasa tanpa uzur adalah wajib menyegerakan qada puasa tersebut. Dan mereka tidak diharuskan bahkan haram melakukan puasa-puasa sunat termasuk puasa enam hari di bulan Syawal.

Puasa qada boleh dilakukan pada bila-bila masa kecuali pada hari-hari yang diharamkan berpuasa seperti Hari Raya Fitrah, Hari Raya Haji atau pada hari-hari Tasyriq dan sebagainya dan ia wajib disegerakan sebelum masuk Ramadan yang baru.

Jika qada puasa hendak dikerjakan pada bulan Syawal ia boleh dilakukan bermula pada Hari Raya Kedua (2 haribulan Syawal). Bagi mereka yang diharuskan meninggalkan puasa kerana keuzuran yang dibenarkan oleh syarak seperti orang perempuan yang haid atau nifas, orang sakit atau orang musafir (dalam perjalanan) dan lain-lain, sunat bagi mereka mengerjakan puasa enam sekalipun mereka masih mempunyai qada. Walau bagaimanapun menurut para ulama ganjaran yang bakal diterimanya tidaklah sama dengan ganjaran pahala yang diterima oleh mereka yang berpuasa enam setelah berpuasa penuh satu bulan Ramadan.

Berbanding dengan orang-orang yang meninggalkan puasa Ramadan tanpa keuzuran atau dengan sengaja, diharamkan ke atas mereka mengerjakan puasa enam pada bulan Syawal itu kerana mereka diwajibkan menyegerakan qada tersebut.

Manakala bagi orang yang luput keseluruhan puasa Ramadan (selama satu bulan) kerana keuzuran yang diharuskan oleh syarak, jika dia mengerjakan puasa qadanya pada bulan Syawal, disunatkan (mustahab) ke atasnya mengqada puasa enam itu dalam bulan Zulkaedah. Walau bagaimanapun, menurut ulama dia hanya mendapat ganjaran sebagaimana yang disebutkan oleh hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu orang yang berpuasa Ramadan dan diikuti dengan puasa enam pada bulan Syawal diibaratkan berpuasa selama satu tahun.

MENYATUKAN PUASA QADA DENGAN PUASA ENAM

Bagi orang yang hendak melakukan qada puasa Ramadan (meninggalkannya kerana keuzuran yang dibolehkan oleh syarak), ia boleh dilakukan sekaligus dengan puasa enam dalam bulan Syawal. Caranya ialah orang tersebut hendaklah berniat bagi kedua-duanya iaitu puasa qada dan puasa sunat tersebut dengan tujuan bagi mendapatkan ganjaran kedua-dua sekali (iaitu ganjaran puasa qada dan ganjaran puasa sunat).

Hal ini sama seperti orang yang berniat puasa wajib sama ada puasa qada atau puasa nazar atau puasa kafarah, pada hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti hari Arafah atau pada hari Isnin dan Khamis atau pada hari ‘Ayura dan puasa-puasa sunat yang lain seumpamanya.

Dalam menunaikan puasa tersebut, jika dia berniat kedua-duanya sekali iaitu puasa qada dan puasa sunat seperti puasa hari Arafah atau puasa-puasa sunat yang lain, maka dia akan mendapat ganjaran bagi puasa sunat dan puasa wajib tersebut. Tetapi jika dia berniat hanya bagi puasa sunat sahaja atau puasa wajib sahaja, maka dia hanya akan mendapat gambaran bagi puasa yang diniatkannya sekalipun ia dilakukan pada hari yang bertepatan antara puasa wajib dan puasa sunat itu.

Ibnu Hajar Al-Haitami dalam fatwanya menjelaskan, mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib seperti di atas dengan katanya maksudnya :

"Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib) dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya." (Al-Fatwa Al-Kubra : 2/75).

Walaupun menyatukan puasa qada dengan puasa enam itu diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya, namun ganjaran tersebut tidaklah menyamai ganjaran pahala seperti yang disebut dalam hadis di atas. Walau bagaimanapun sikap menyegarakan qada puasa itu sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak kerana ganjaran dan pahala ibadat puasa itu hanya Allah Subhanahu Wataala sahaja yang menilai dan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa.

~sumber : Mufti Brunei~

Khamis, Mei 27, 2010

Bukan semua alkohol haram

Umumnya umat Islam melihat setiap yang mengandungi alkohol itu adalah haram. Apakah beza arak dengan alkohol?
Tanggapan sedemikian tidak tepat. Memang sebagai umat Islam, kita wajib mencari yang halal. Dalam hal ini sudah pastilah bebas daripada arak dan alkohol atau juga secara umumnya dikenali sebagai etanol.Salah tanggapan ini antara lain akibat kesilapan dalam menterjemahkan khamar daripada asal perkataan Arab kepada bahasa Inggeris sebagai alkohol. Sedangkan maksud sebenar khamar adalah arak.Tokoh Islam kontemporari, Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi misalnya pernah mengeluarkan pandangan bahawa penggunaan kandungan alkohol sebanyak 0.5 peratus adalah dibenarkan. Alkohol yang dimaksudkan adalah etanol yang mungkin digunakan sebagai pelarut atau pembawa kepada bahan seperti perisa atau pewarna makanan. Istilah alkohol yang dimaksudkan di sini bukanlah arak. Kerana jika arak ditambah, walaupun pada kadar yang sedikit, tidak memenuhi keperluan halal.

Alkohol, secara umumnya pula merujuk kepada etanol tulen dan etanol nyahasli pada sebarang kepekatan (proof).Secara kimia, alkohol merujuk kepada sebarang sebatian kimia yang mengandungi kumpulan hidroksil (-OH). Sebagai contoh, iso-propil alkohol, metil alkohol (metanol), butil alkohol (butanol), propil alkohol (propanol), sorbitol dan inositol. Sorbitol misalnya, walaupun ianya tergolong dalam kumpulan alkohol adalah pemanis dan tidak mempunyai sifat yang memabukkan. Bagaimanapun, seperkara yang perlu dijelaskan adalah tidak semua etanol terhasil daripada proses pembuatan arak. Ini kerana terdapat juga etanol yang terhasil daripada proses penapaian tumbuhan yang bukan bertujuan untuk menghasilkan arak, seperti alkohol industri. Etanol juga boleh terjana secara sintesis kimia iaitu daripada sumber petroleum, melalui hidrasi etilena.

Etanol adalah salah satu sebatian yang terkandung dalam arak dan sebatian inilah yang sebenarnya akan menyebabkan peminumnya menjadi mabuk. Selain dariapada itu, arak juga mengandungi sebatian lain seperti ester, asid, aldehid, keton dan sebagainya yang membentuk sifat-sifat rasa arak itu.
Daripada segi industri pula, ada etanol yang hasilkan untuk berfungsi sebagai pelarut untuk pelbagai bahan industri dan digunakan dalam perisa, pewarna, cat, kosmetik dan ubatan yang tiada kaitannya dengan penghasilan arak.

Perbezaan utama antara arak dan etanol industri ini adalah dari segi tujuan ia dihasilkan. Arak dihasilkan dan boleh menyebab kemabukan manakala etanol industri adalah sebagai pelarut untuk pelbagai bahan industri.


Kalau begitu, penggunaan alkohol sebagai bahan cita rasa adalah dibenarkan?
Dalam hal ini Muzakarah ke-22 Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 24 Nov. 1988 telah mengeluarkan kenyataan bahawa kordial yang mengandungi bahan perasa alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan untuk tujuan minuman sekiranya:
  • Alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak
  • Kuantiti alkohol dalam perasa itu sedikit iaitu tidak memabukkan.
Istilah al-kuhl itu sendiri adalah perkataan Arab yang diperkenalkan oleh saintis Islam zaman dahulu. Bahan ini tidak semestinya ada kena mengena dengan pengeluaran arak. Demikian juga dengan etanol, walaupun ada yang digunakan untuk menghasilkan minuman beralkohol tetapi ia juga boleh dimanfaatkan untuk kegunaan lain. Antaranya sebagai dalam pencuci, bahan kimia untuk uji kaji makmal, bahan bakar, pelarut untuk pengekstrakan bahan warna, pelarut untuk pengekstrakan produk perubatan dan pelarut untuk pewangi. Malah, etanol juga turut disapu pada lengan kita sebelum diberi suntikan oleh doktor untuk membersih dan mengelak jangkitan.
Mengikut Peraturan Makanan (1985) di bawah Akta Makanan (1983), bahan minuman yang mengandungi lebih dua peratus kandungan alkohol hendaklah dipamerkan dengan perkataan 'Arak Mengandungi % Alkohol' pada botolnya.

Apa pula kegunaan alkohol nyah-asli?
Alkohol nyah-asli bermaksud penambahan bahan tambah seperti metanol, pyridine, denotorium kepada etanol tulen yang dihasilkan secara sintesis kimia petroleum atau fermentasi bahan pertanian. Dengan menggunakan bahan tambah ini menjadikannya beracun, atau menjadi pahit dan tidak boleh dimakan. Ini dapat menutup ruang atau kesempatan di mana bahan yang ditambah dengan etanol tersebut boleh digunakan sebagai arak. Bahan tambah lain yang digunakan untuk industri seperti iso-propanol, gasolin, metil-etil keton, klorofom, metil-isobutil keton dan denatonium benzoate.

Apa pula kesan pengambilan alkohol kepada tubuh badan kita?

Berdasarkan kajian yang dilakukan dalam bidang perubatan, alkohol (etanol) akan mula memberi kesan kepada tubuh apabila kandungan alkohol dalam darah (Blood Alcohol Content atau BAC) berada pada tahap 0.06 hingga 0.09 g/100 ml (lihat rajah Tahap Ketosikan Pengambilan Alkohol Kepada Manusia). Dalam mengkaji etanol dalam tubuh manusia, kita boleh merujuk kepada model matematik metabolisme yang diperkenalkan oleh Dr. Erik Matteo Prochet Widmark (1889 - 1945), seorang ahli fisiologi Sweden. Berdasarkan bukunya, Principles and Applications of Medico-legal Alcohol Determination (1932).

Hasil kerja Widmark sangat terkenal hinggakan pada tahun 1965, University of Indiana menubuhkan Anugerah Widmark bagi menyanjung kerja beliau. Perjalanan etanol dalam badan pula adalah seperti berikut. Etanol tidak perlu dihadam kerana ia cepat diserap oleh badan. Lebih kurang 20% diserap terus melalui dinding perut yang kosong dan boleh sampai ke otak dalam masa satu minit. Kemudian diserap secara pantas pada bahagian atas usus kecil, dan dari situ dibawa oleh darah ke hati dan akhirnya ke buah pinggang. Hanya sel-sel hati mengeluarkan enzim dehydrogenase pada jumlah yang mencukupi untuk penguraian alkohol. Secara tabiinya, wanita menghasilkan jumlah dehydrogenase yang kurang berbanding lelaki. Sebab itu, secara teorinya kaum wanita akan lebih cepat mabuk berbanding lelaki.

Baru-baru ini, isu pengharaman penggunaan cuka wain disentuh. Ada juga pihak yang meminta keputusan itu dikaji semula. Apa pandangan saudara:

Pengharaman cuka wain itu adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke-76 pada 4-6 April 2006. Keputusan Muzakarah adalah: Haram menggunakan cuka wain yang diproses dan dicampur dengan bahan-bahan luar. Walaubagaimanapun, sekiranya perubahan daripada cuka wain kepada cuka berlaku dengan sendirinya, maka ia adalah halal. Cuka wain ini banyak digunakan dalam penyediaan pencuci mulut, bahan perap daging, salad dressing, mustard, jeruk dan sos.

Bagaimanapun, saya suka mencadangkan agar kita melihat kepada tiga aspek sebelum membuat keputusan dalam hal ini.


Pertama, memahami asas kepada pengharaman itu. Salah satu daripadanya berdasarkan kepada istilah wain iaitu mengharamkan sesuatu itu disebabkan konotasi pada namanya.
Contohnya, kalau wain ia mesti haram. Begitu juga kalau istilah bak kut teh (sup babi) membawa kepada konotasi bahan yang haram. Dalam Standard Makanan Halal (MS1500) (Semakan Kedua) yang dikuatkuasakan mulai November 2009, mana-mana produk yang mempunyai istilah yang membawa kepada konotasi bahan yang haram tidak akan diberi pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Kedua, kita perlu menjelaskan apakah maksud campur tangan bahan luar sehingga menyebabkan cuka wain itu haram. Ia supaya berlaku adil kepada realiti dan pihak industri. Sebabnya, dalam industri sekarang, memang secara sengaja dimasukkan bakteria asid asetik supaya hasilnya dimana alkohol secara pastinya akan bertukar menjadi cuka. Mereka ini tidak boleh mengambil risiko. Misalnya menyediakan 10 tong untuk dijadikan cuka wain atau cuka asli, jika kita membiarkan proses tersebut berlaku secara tabie tanpa dikawal atau diinokulasi secara sengaja, tidak dapat dipastikan sama ada proses fermentasi tersebut akan menghasilkan cuka atau ia akan akan rosak akibat daripada pencemaran bakteria lain.

Ketiga, peratusan kandungan alkohol di dalam cuka tersebut. Kajian yang kami lakukan di atas sampel-sampel yang diambil daripada pasaran setakat ini mendapati kandungan paling tinggi alkohol dalam cuka adalah 0.18 peratus.
Ini menjelaskan bahawa kandungan alkohol sedemikian adalah rendah dan kemungkinan besar tidak boleh memabukkan.

Rabu, Disember 23, 2009

Hari Asyura_10 Muharram


Muqaddimah
Hari Asyura tahun ini adalah pada Hari Ahad (27 Disember 2009). Sepuluh Muharram dalam bahasa Arab disebut Asyura (Kesepuluh-merujuk kepada 10 Muharram). Ia menjadi penting antara lain diundangkannya untuk pertama kali sebagai hari berpuasa dalam sejarah Islam.

Amalan Hari Asyura

Antara amalan yang digalakkan diamalkan pada Hari Asyura ialah :
  1. Berpuasa

  2. Meluaskan makanan kepada ahli keluarga

  3. Menyapu kepala anak yatim

  4. Bersedekah

  5. Menghubungkan silaturrahim

  6. Mandi sunat (bersihkan diri)

  7. Potong kuku

  8. Memakai celak (bagi lelaki)

  9. Menziarahi orang-orang alim

  10. Menziarahi orang-orang sakit

  11. Solat sunat

  12. Membaca surah al-Ikhlas sebanyak 1000 kali

Al Allamah al Ujhuri R.A berkata : daripada 12 jenis amalan di atas, dua daripadanya sahaja yang benar-benar thabit daripada Rasulullah berdasarkan hadith yang sohih iaitu perkara (1) dan (2).

(1) Berpuasa

Hukum berpuasa pada hari ‘Asyura’ adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang amat dituntut. Anjuran berpuasa pada hari tersebut disebutkan dalam hadis Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang

  • diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan ialah bulan Muharram dan sebaik-baik sembahyang selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang pada waktu malam.”(Hadis riwayat Muslim)

  • Dalam hadis yang lain pula, Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma menceritakan:

Maksudnya:“Aku tidak melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mencari-cari puasa pada satu hari, (Baginda) mengutamakannya daripada hari-hari yang selainnya, kecuali hari ini iaitu hari ‘Asyura’, dan bulan ini iaitu bulan Ramadhan.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam turut berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan Baginda menyuruh umat Islam berpuasa supaya tidak terlepas peluang melaksanakan tuntutan sunat ini. Antaranya:

  • Diriwayatkan daripada Abdullah bin Sa‘id bin Jabir daripada ayahnya, daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhum, katanya:

Maksudnya:
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika sampai ke Madinah lalu melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’. Kemudian Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Apa ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari baik, Ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh-musuh mereka, lalu (pada hari ini) Nabi Musa berpuasa.” Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku lebih berhak untuk menghormati Musa daripada kamu.” Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa hari ‘Asyura dan menyuruh para sahabat untuk berpuasa pada hari tersebut.”(Hadis riwayat al-Bukhari)

  • Dalam hadis lain yang diriwayatkan daripada Humaid bin Abdul Rahman, dia mendengar Muawiyyah bin Abu Sufyan berkata di atas minbar pada hari ‘Asyura:

Maksudnya:
“Wahai penduduk Madinah, di manakah para ulama kamu? Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ini adalah hari ‘Asyura’, dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa. Namun aku berpuasa. Maka barangsiapa yang menghendaki untuk berpuasa, maka berpuasalah dan barangsiapa yang menghendaki untuk tidak berpuasa, maka berbukalah”. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kelebihan Puasa Hari 'Asyura

Berdasarkan hadis-hadis di atas, jelas bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menggalakkan umat Islam supaya melakukan puasa hari ‘Asyura’. Peluang seumpama ini tidak harus dilepaskan oleh umat Islam, apalagi jika mengetahui fadhilat yang diberikan kepada mereka yang melakukan puasa hari ‘Asyura’.

Fadhilat berpuasa hari ‘Asyura’ disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abi Qatadah Radhiallahu ‘anhu, RasulullahShallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“… Berpuasa pada hari ‘Asyura, aku mengira bahawa Allah akan menebus dosa tahun yang dahulunya (bagi orang yang berpuasa pada hari tersebut).” (Hadis riwayat Muslim)

Terdapat beberapa pendapat tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘tahun yang dahulunya’:

i. Tahun itu sendiri, iaitu sembilan hari sebelum hari ‘Asyura’.

ii. Sepanjang tahun sebelum hari ‘Asyura (iaitu bermula darihari ‘Asyura’ sebelumnya).

Imam Muslim meriwayatkan daripada Sayyidina Abu Qatadah al-Anshari r.a. bahawa Junjungan Nabi s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura` dan baginda menjawabnya: "yukaffirus sanatal maadhiyah" (dapat mengkafarahkan dosa setahun yang lalu).

(2) Meluaskan makanan kepada ahli keluarga

  • Imam ath-Thabrani dan Imam al-Baihaqi telah meriwayatkan dari Sayyidina Abu Sa`id al-Khudri, Sayyidina Abu Hurairah, Sayyidina Jabir dan Sayyidina Ibnu Mas`ud r.'anhum bahawa Junjungan s.a.w. bersabda:

"Sesiapa yang memberi keluasan / kelapangan (yakni keluasan rezki) kepada keluarganya pada hari 'Asyura`, maka Allah akan meluaskan rezkinya sepanjang tahun tersebut."

Berhubung hadis ini muhadditsin berbeza pendapat, ada yang mensabitkannya dan ada yang mendha`ifkan. Imam as-Sayuthi dalam "ad-Durarul-Muntatsirah" mensabitkan hadis ini sebagai sahih. Syaikh Zainuddin al-Malibari menulis dalam "Irsyadul 'Ibad ila Sabilir Rasyad" bahawa Imam Sufyan bin 'Uyainah berkata: "Kami telah mengamalkan hadis ini selama 50 atau 60 tahun, dan benar-benar sedemikian (yakni terjadi seperti yang dinyatakan dalam hadis tersebut, iaitu luas rezki sepanjang tahun).

*** Syaratnya hendaklah dari sumber dan makanan yang halal serta tidak disertai perasaan riya' dan pembaziran. Bagi yang kurang berkemampuan, hendaklah mempelokkan akhlak terhadap ahli keluarga dan memaafkan orang yang pernah melakukan kezaliman terhadap kita.

Manakala amalan lain, (3) hingga (12), sebahagian daripadanya diambil daripada dari hadith yang dhoif dan sebahagian daripadanya diambil daripada hadith munkar maudhu'.Namun demikian, memanfaat hadith dhoif dalam perkara yang berkaitan dengan fadhilat 'amal, adalah diharuskan kerana ulama hadith bersikap toleransi dalam permasalahan seperti ini. Manakala dari segi fadhilat pula, tidak lain tidak bukan adalah untuk memberi ransangan kepada kita untuk melakukan ketaatan kepada Allah.

Puasa Hari Tasu'a (ke 9 Muharam)

Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Ghatfan ibn Torif al Murri berkata:Aku mendengar Abdullah ibn Abbas R.A berkata :

Ketika Rasulullah sedang berpuasa hari Asyura dan menyuruh sahabat Baginda berpuasa, merek berkata : Wahai Rasulullah, sesungguhnya ia (hari asyura) adalah hari yang dimuliakan oleh orang Yahudi dan Nasrani. Maka Rasulullah bersabda, "Pada tahun hadapan sekiranya diizinkan oleh Allah, kami akan berpuasa pada hari yang kesembilan (Muharam)".

Berkata ibn Abbas R.A, " Maka tidak datang tahun berikutnya sehingga wafatnya Rasulullah."

Daripada ibn Abbas R.A, bahawa Rasulullah bersabda: "Sekiranya aku masih hidup hingga ke tahun akan datang, sudah pasti aku akan berpuasa pada hari yang ke-9 (Muharam)."

Hikmah

Para ulama menyebutkan bahawa hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu`a' (sembilan Muharram) itu adalah untuk :

i. Menyalahi atau membezakan amalan orang-orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari `Asyura' (sepuluh Muharram) sahaja.

ii. Bagi maksud berhati-hati berpuasa pada hari `Asyura' kerana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muharram itu dalam pengiraan adalah hari yang kesepuluh Muharram yang sebenarnya.

Sumber rujukan utama : Buku 'Amalan Awal Muharram dan Hari Asyura' yang dikarang oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki.

Alfana :

Buku tersebut terdapat dalam koleksi buku-buku saya..Sesiapa nak pinjam untuk mendapatkan bahan bacaan lanjut, boleh maklumkan..nak beli pun boleh, tapi lambat sket la boleh dapat..

Selasa, Disember 01, 2009

Persoalan Sekitar Hukum

Soalan 1 : Boleh tak kita solat kat rumah orang kafir
Jawapan : Boleh berdasarkan hadith Nabi :
Dari Abu Dzar r.a bertanya:”Ya Rasulullah! Masjid manakah yang mula-mula dibangun kan di muka bumi ini?” Jawab Rasulullah s.a.w :’Masjidil Haram!” Aku bertanya lagi:”Sesudah itu masjid apa?” Jawab baginda:”Masjidil Aqsa!” Aku bertanya lagi:”Berapa lamakah jarak antara kedua masjid itu dibangunkan?” Jawab baginda:”Empat puluh tahun.. Dan di mana sahaja kamu berada jika waktu solat telah tiba, maka solatlah (segera) kerana bumi ini adalah masjid (tempat sujud).”
(Muslim)
Sumber hadith : JAKIM
Di samping itu, ia sebagai keringanan bagi orang yang baru memasuki Islam yang pulang ke rumah ibu bapanya yang masih belum Islam. Tetapi ada juga pendapat menambah dengan syarat rumah atau tempat solat tersebut perlulah diyakini bersih daripada segala kekotoran dan tidak terdapat patung/berhala di dalamnya. Sesungguhnya setiap inci bumi ini adalah milik Allah dan setiap permukaan bumi ini dikira masjid bagi orang Islam. (Tapi jangan pula solat dalam tandas pula tau..yang tu konfem tak boleh). Juga dibolehkan selagi mana tidak mendatangkan fitnah, ancaman atau mudarat pada Islam. Wallahu'alam (Allah yang lebih mengetahui)
p/s : kalo ustazah ada info terkini, ustazah maklumkan ye..

Soalan 2 : Tindakan terhadap jiran yang suka maki
Jawapan : Alhamdulillah, aisyah mempunyai perasaan untuk membenci sikap tersebut (bukan benci pada orangnya tau). Dalam kes sebegini, sememangnya sikap tersebut adalah sifat mazmumah (buruk).Sebagaimana firman Allah dalam Surah AnNisa':
Ayat 148 = Allah tidak menyukai ucapan buruk[371], (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya[372]. Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
[371]. Ucapan buruk sebagai mencela orang, memaki, menerangkan keburukan-keburukan orang lain, menyinggung perasaan seseorang, dan sebagainya.[372]. Maksudnya: orang yang teraniaya oleh mengemukakan kepada hakim atau penguasa keburukan-keburukan orang yang menganiayanya.

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :” Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat.” (Hadith riwayat Ahmad dan Tirmizi)
Huraian :
(i) Memperli, memperolok-olok, mengejek, menghina, memperleceh, memperlekeh, memanggil dengan gelaran yang memalukan, menyatakan kekurangan orang secara terang-terangan dan sebagainya adalah perbuatan yang sangat dilarang oleh Allah.
(ii) Sesiapa yang mencaci orang lain sebenarnya dia mencaci dirinya sendiri. Sebaiknya selaku umat Islam kita hendaklah hidup saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan tolong-menolong. Justeru, apabila mendengar celaan, kita sepatutnya bertindak menyembunyikan keburukan tersebut sekalipun seseorang yang dicela itu memang telah melakukan sesuatu dosa yang mengaibkan kerana kemungkinan orang itu telah bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian ganjarannya adalah amat besar di akhirat kelak.

Tindakan :
1. Sebagai jiran, kita hendaklah menegur perbuatan tersebut sekiranya mampu.
2. Sekiranya tidak mampu, kita tunjukkan sikap yang baik (dakwah bil hal-dakwah dengan akhlak yang baik). Segala kata-kata yang buruk itu kita balas dengan senyuman. Jangan api lawan dengan api, tentu bertambah marak. Seperti pokok buah, dibaling dengan batu, dibalas dengan buah (fikir-fikirkan).
Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata-kata dengan kebaikan atau jika tidak, hendaklah dia diam sahaja. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya.”
(al-Bukhari dan Muslim)
3. Dalam masa yang sama, cuba maklumkan pada sesiapa yang dihormati oleh jiran tersebut, contoh ibu bapanya, guru yang disayanginya, rakan baiknya atau sesiapa sahaja yang berakhlak mulia yang dihormatinya, agar menegur perbuatan tersebut.
4. Jangan lupa, sentiasa doakan moga2 suatu hari nanti, dia akan berubah sikap.

Khas untuk anak murid ustazah di SKBR, hayatilah hadis di bawah. Sebagai teguran bersama, sesungguhnya teguran itu tanda ustazah sayang pada kalian agar menjadi seorang muslim yang lebih baik pada masa akan datang,k.

Hadith :
Dari Abdullah bin Amru bin Ash r.a, katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Mencaci ibu bapa termasuk dosa besar.” Para sahabat bertanya:”Adakah orang yang mencaci ibu bapanya?” Jawab Rasulullah s.a.w ,:”Ya, ada! Dicacinya bapa orang lain, lalu orang itu mencaci bapanya pula. Dicacinya ibu orang lain, lalu orang itu mencaci ibunya pula.”
(Muslim)
Huraian :
Dalam kehidupan ini kita selalu ingin menjadi yang terbaik sehingga kita lupa bahawa kita telah menjangkau batasan orang yang baik-baik. Selaku seorang yang beragama Islam kita hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik. Hormati orang lain sebagaimana kita mahu diri kita dihormati. Orang yang biadap memiliki tiga ciri iaitu fikirannya buruk, ucapannya kasar dan perilakunya jahat. Orang demikian cenderung melakukan hal-hal yang tidak sepatutnya. Mereka tidak pandai menghormati orang dan suka mencaci maki orang tanpa menyedari bahawa kata-kata itu akan kembali kepada diri mereka sendiri mahupun ibu bapa mereka. Lebih dari itu mereka juga sebenarnya telah mencemarkan identiti sebagai seorang Islam yang sentiasa menyuruh umatnya agar berbudi bahasa dan berakhlak mulia.
Sumber : JAKIM
Wallahu'alam...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Nak Kenal Lagi??

Emel = alsalsabil@hotmail.com
YM = zanjabil27@yahoo.com
FS = laislamic@yahoo.com

Great Morning ©  Copyright by RaUDhaH Al-BaAn | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks