Memaparkan catatan dengan label Hadith. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hadith. Papar semua catatan

Khamis, Februari 10, 2011

Cahaya Muka Rasulullah Sollallahu'alaihi wasallam


Telah diriwayatkan daripada Siti Aishah Radiallahu Anha bahawa ia telah berkata :

"Sedang aku menjahit baju pada waktu sahur maka jatuhlah jarum daripada tanganku tiba-tiba kebetulan lampu pun terpadam,lalu masuklah Rasulullah Sollallahu'alaihi wasallam maka aku telah dapat memungut jarum itu daripada cahaya wajahnya, lalu aku berkata,

"Wahai Rasulullah, alangkah bercahaya wajahmu?" dan seterusnya aku bertanya,"Siapakah yang tidak akan dapat melihatmu pada Hari Kiamat nanti?"

Jawab Rasulullah Sollallahu'alaihi wasallam: "Orang yang bakhil."

Aku bertanya lagi: "Siapakah orang yang bakhil itu?"

Jawab Rasulullah Sollallahu'alaihi wasallam," Dialah orang yang ketika disebut namaku di sisinya ia tiada mengucapkan solawat bagiku."

Isnin, September 20, 2010

Puasa Enam : ...boleh disatukan dengan Puasa Qadha'?


MATLAMAT puasa jika dikerjakan dengan penuh penghayatan akan dapat membentuk manusia menjadi orang yang bertakwa sebagaimana perkara ini dijelaskan oleh Al-Quran.

Di samping itu puasa juga merupakan ibadat yang istimewa di sisi Allah Subhanahu Wataala kerana setiap ganjaran atau balasan kepada orang yang berpuasa diberikan dan dinilai oleh Allah Subhanahu Wataala sendiri sebagaimana yang disebut oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya :

"Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Allah Subhanahu Wataala berfirman : "Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya (dapat diperiksa sendiri dan dinilai baik buruknya), melainkan amalan puasa, maka sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) dan oleh sebab itu Aku sendirilah yang akan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa." (Hadis riwayat Bukhari).

Puasa Ramadan adalah diwajibkan kepada umat Islam pada setiap tahun berdasarkan ayat Al-Quran dan hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Begitu juga disunatkan ke atas orang Islam berpuasa sunat atau tathawwu’ di hari atau bulan yang lain seperti melakukan puasa ‘Asyura, hari ‘Arafah, puasa di bulan Syaaban, puasa mingguan pada hari Isnin dan Khamis, puasa enam hari pada bulan Syawal yang biasanya disebut sebagai puasa enam.

Pada siri Irsyad Hukum kali ini kita akan membicarakan mengenai beberapa perkara yang berhubung dengan puasa enam.

Puasa enam ialah puasa yang dikerjakan dengan berturut-turut atau berselang-selang sebanyak enam hari pada bulan Syawal selepas Hari Raya Fitrah.Puasa enam itu sunat dikerjakan oleh orang yang telah mengerjakan puasa Ramadan sebulan penuh dan juga sunat dikerjakan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syarak seperti haid dan nifas, musafir atau orang sakit. Manakala bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja adalah haram melakukan puasa enam kecuali setelah selesai mengqada puasanya. Namun ganjaran pahala puasa enam bagi orang yang tidak berpuasa penuh bulan Ramadan tidak sama dengan ganjaran pahala bagi orang yang mengerjakan puasa enam selepas mengerjakan puasa Ramadan sebulan penuh.

Sunat puasa enam ini berdasarkan sabda Baginda yang maksudnya :

"Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun." (Hadis riwayat Muslim).

Para ulama berselisih pendapat mengenai waktu atau masa mengerjakan puasa enam itu. Sebahagian besar ulama berpendapat puasa enam itu dilakukan dengan berturut-turut selepas Hari Raya mulai Hari Raya kedua dan seterusnya. Manakala ulama muta’akhirin pula berpendapat puasa enam itu harus dilakukan secara tidak berturut-turut seperti berselang-seli dan sebagainya selama dalam bulan Syawal. Walau bagaimanapun mengerjakannya dengan berturut-turut selepas Hari Raya adalah lebih afdal.

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari dalam bulan Syawal setelah berpuasa Ramadan sebulan penuh diibaratkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai berpuasa sepanjang tahun kerana sebulan puasa Ramadan itu menyamai puasa sepuluh bulan dan puasa enam pula menyamai dengan 60 hari atau dua bulan. Jika dicampurkan sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia setahun, itulah yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun. Perkara ini dijelaskan lagi dalam sebuah hadis, sabda Baginda yang maksudnya :

"Berpuasa sebulan (disamakan) dengan sepuluh bulan puasa, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan) dengan dua bulan puasa, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genap setahun." (Hadis riwayat Al-Darimi).

Berdasarkan hadis di atas juga, sebahagian ulama menjelaskan bahawa puasa enam hari dalam bulan Syawal diberikan ganjaran yang sama dengan ganjaran puasa di bulan Ramadan, kerana setiap kebajikan itu dibalas atau diberikan dengan sepuluh kali ganda. Sebagaimana juga mereka mengatakan : "Membaca Surah Al-Ikhlas itu sama dengan membaca sepertiga Al-Quran.

"KEWAJIPAN MENGQADA PUASA

Puasa Ramadan yang ditinggalkan adalah wajib diqada sebanyak hari yang ditinggalkan itu sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah dalam firman-Nya yang tafsirnya :

"Maka wajiblah dia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain." (Surah Al-Baqarah : 184).

Kewajipan mengqada puasa itu tidak kira sama ada puasa itu ditinggalkan dengan sengaja atau kerana keuzuran kecuali orang-orang yang benar-benar tidak berdaya mengerjakannya seperti orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh. Mereka tidak diwajibkan mengqada puasa yang ditinggalkan itu tetapi wajib membayar fidyah sebagai ganti puasa yang ditinggalkan. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu Wataala yang tafsirnya :

"Dan wajib atas orang-orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin." (Surah Al-Baqarah : 184).

Dalam mengerjakan qada puasa ini, para ulama berpendapat bahawa orang-orang yang meninggalkan puasa tanpa uzur adalah wajib menyegerakan qada puasa tersebut. Dan mereka tidak diharuskan bahkan haram melakukan puasa-puasa sunat termasuk puasa enam hari di bulan Syawal.

Puasa qada boleh dilakukan pada bila-bila masa kecuali pada hari-hari yang diharamkan berpuasa seperti Hari Raya Fitrah, Hari Raya Haji atau pada hari-hari Tasyriq dan sebagainya dan ia wajib disegerakan sebelum masuk Ramadan yang baru.

Jika qada puasa hendak dikerjakan pada bulan Syawal ia boleh dilakukan bermula pada Hari Raya Kedua (2 haribulan Syawal). Bagi mereka yang diharuskan meninggalkan puasa kerana keuzuran yang dibenarkan oleh syarak seperti orang perempuan yang haid atau nifas, orang sakit atau orang musafir (dalam perjalanan) dan lain-lain, sunat bagi mereka mengerjakan puasa enam sekalipun mereka masih mempunyai qada. Walau bagaimanapun menurut para ulama ganjaran yang bakal diterimanya tidaklah sama dengan ganjaran pahala yang diterima oleh mereka yang berpuasa enam setelah berpuasa penuh satu bulan Ramadan.

Berbanding dengan orang-orang yang meninggalkan puasa Ramadan tanpa keuzuran atau dengan sengaja, diharamkan ke atas mereka mengerjakan puasa enam pada bulan Syawal itu kerana mereka diwajibkan menyegerakan qada tersebut.

Manakala bagi orang yang luput keseluruhan puasa Ramadan (selama satu bulan) kerana keuzuran yang diharuskan oleh syarak, jika dia mengerjakan puasa qadanya pada bulan Syawal, disunatkan (mustahab) ke atasnya mengqada puasa enam itu dalam bulan Zulkaedah. Walau bagaimanapun, menurut ulama dia hanya mendapat ganjaran sebagaimana yang disebutkan oleh hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu orang yang berpuasa Ramadan dan diikuti dengan puasa enam pada bulan Syawal diibaratkan berpuasa selama satu tahun.

MENYATUKAN PUASA QADA DENGAN PUASA ENAM

Bagi orang yang hendak melakukan qada puasa Ramadan (meninggalkannya kerana keuzuran yang dibolehkan oleh syarak), ia boleh dilakukan sekaligus dengan puasa enam dalam bulan Syawal. Caranya ialah orang tersebut hendaklah berniat bagi kedua-duanya iaitu puasa qada dan puasa sunat tersebut dengan tujuan bagi mendapatkan ganjaran kedua-dua sekali (iaitu ganjaran puasa qada dan ganjaran puasa sunat).

Hal ini sama seperti orang yang berniat puasa wajib sama ada puasa qada atau puasa nazar atau puasa kafarah, pada hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti hari Arafah atau pada hari Isnin dan Khamis atau pada hari ‘Ayura dan puasa-puasa sunat yang lain seumpamanya.

Dalam menunaikan puasa tersebut, jika dia berniat kedua-duanya sekali iaitu puasa qada dan puasa sunat seperti puasa hari Arafah atau puasa-puasa sunat yang lain, maka dia akan mendapat ganjaran bagi puasa sunat dan puasa wajib tersebut. Tetapi jika dia berniat hanya bagi puasa sunat sahaja atau puasa wajib sahaja, maka dia hanya akan mendapat gambaran bagi puasa yang diniatkannya sekalipun ia dilakukan pada hari yang bertepatan antara puasa wajib dan puasa sunat itu.

Ibnu Hajar Al-Haitami dalam fatwanya menjelaskan, mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib seperti di atas dengan katanya maksudnya :

"Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib) dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya." (Al-Fatwa Al-Kubra : 2/75).

Walaupun menyatukan puasa qada dengan puasa enam itu diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya, namun ganjaran tersebut tidaklah menyamai ganjaran pahala seperti yang disebut dalam hadis di atas. Walau bagaimanapun sikap menyegarakan qada puasa itu sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak kerana ganjaran dan pahala ibadat puasa itu hanya Allah Subhanahu Wataala sahaja yang menilai dan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa.

~sumber : Mufti Brunei~

Isnin, Jun 14, 2010

Ahlan ya Rejab..



Sudah menjadi rutin salafussoleh, kehadiran bulan Rejab dianggap sebagai muqaddimah dan persediaan untuk memasuki gerbang bulan istimewa Ramadhan. Justeru, kedatangan bulan Rejab disambut dengan pelbagai doa, dipenuhi dengan pelbagai istighfar dan ibadah.

Sabda Rasulullah SAW :
"Lakukanlah apa sahaja amalan yang termampu oleh kamu kerana sesungguhnya Allah tidak pernah jemu sehingga kamu sendiri yang berasa jemu."

Doa yang diriwayatkan daripada Anas RA, bahawa apabila menjelang bulan Rejab, Rasulullah SAW berdoa :

"Ya Allah! Berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya'aban, serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan Ramadhan."

-Diriwayatkan oleh Imam Al Baihaqi di dalam al Syu'ab dan Ibnu Abi al Dunya di dalam Mujab al Da'wah

Rabu, Disember 23, 2009

Hari Asyura_10 Muharram


Muqaddimah
Hari Asyura tahun ini adalah pada Hari Ahad (27 Disember 2009). Sepuluh Muharram dalam bahasa Arab disebut Asyura (Kesepuluh-merujuk kepada 10 Muharram). Ia menjadi penting antara lain diundangkannya untuk pertama kali sebagai hari berpuasa dalam sejarah Islam.

Amalan Hari Asyura

Antara amalan yang digalakkan diamalkan pada Hari Asyura ialah :
  1. Berpuasa

  2. Meluaskan makanan kepada ahli keluarga

  3. Menyapu kepala anak yatim

  4. Bersedekah

  5. Menghubungkan silaturrahim

  6. Mandi sunat (bersihkan diri)

  7. Potong kuku

  8. Memakai celak (bagi lelaki)

  9. Menziarahi orang-orang alim

  10. Menziarahi orang-orang sakit

  11. Solat sunat

  12. Membaca surah al-Ikhlas sebanyak 1000 kali

Al Allamah al Ujhuri R.A berkata : daripada 12 jenis amalan di atas, dua daripadanya sahaja yang benar-benar thabit daripada Rasulullah berdasarkan hadith yang sohih iaitu perkara (1) dan (2).

(1) Berpuasa

Hukum berpuasa pada hari ‘Asyura’ adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang amat dituntut. Anjuran berpuasa pada hari tersebut disebutkan dalam hadis Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang

  • diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan ialah bulan Muharram dan sebaik-baik sembahyang selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang pada waktu malam.”(Hadis riwayat Muslim)

  • Dalam hadis yang lain pula, Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma menceritakan:

Maksudnya:“Aku tidak melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mencari-cari puasa pada satu hari, (Baginda) mengutamakannya daripada hari-hari yang selainnya, kecuali hari ini iaitu hari ‘Asyura’, dan bulan ini iaitu bulan Ramadhan.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam turut berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan Baginda menyuruh umat Islam berpuasa supaya tidak terlepas peluang melaksanakan tuntutan sunat ini. Antaranya:

  • Diriwayatkan daripada Abdullah bin Sa‘id bin Jabir daripada ayahnya, daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhum, katanya:

Maksudnya:
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika sampai ke Madinah lalu melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’. Kemudian Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Apa ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari baik, Ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh-musuh mereka, lalu (pada hari ini) Nabi Musa berpuasa.” Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku lebih berhak untuk menghormati Musa daripada kamu.” Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa hari ‘Asyura dan menyuruh para sahabat untuk berpuasa pada hari tersebut.”(Hadis riwayat al-Bukhari)

  • Dalam hadis lain yang diriwayatkan daripada Humaid bin Abdul Rahman, dia mendengar Muawiyyah bin Abu Sufyan berkata di atas minbar pada hari ‘Asyura:

Maksudnya:
“Wahai penduduk Madinah, di manakah para ulama kamu? Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ini adalah hari ‘Asyura’, dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa. Namun aku berpuasa. Maka barangsiapa yang menghendaki untuk berpuasa, maka berpuasalah dan barangsiapa yang menghendaki untuk tidak berpuasa, maka berbukalah”. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kelebihan Puasa Hari 'Asyura

Berdasarkan hadis-hadis di atas, jelas bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menggalakkan umat Islam supaya melakukan puasa hari ‘Asyura’. Peluang seumpama ini tidak harus dilepaskan oleh umat Islam, apalagi jika mengetahui fadhilat yang diberikan kepada mereka yang melakukan puasa hari ‘Asyura’.

Fadhilat berpuasa hari ‘Asyura’ disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abi Qatadah Radhiallahu ‘anhu, RasulullahShallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“… Berpuasa pada hari ‘Asyura, aku mengira bahawa Allah akan menebus dosa tahun yang dahulunya (bagi orang yang berpuasa pada hari tersebut).” (Hadis riwayat Muslim)

Terdapat beberapa pendapat tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘tahun yang dahulunya’:

i. Tahun itu sendiri, iaitu sembilan hari sebelum hari ‘Asyura’.

ii. Sepanjang tahun sebelum hari ‘Asyura (iaitu bermula darihari ‘Asyura’ sebelumnya).

Imam Muslim meriwayatkan daripada Sayyidina Abu Qatadah al-Anshari r.a. bahawa Junjungan Nabi s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura` dan baginda menjawabnya: "yukaffirus sanatal maadhiyah" (dapat mengkafarahkan dosa setahun yang lalu).

(2) Meluaskan makanan kepada ahli keluarga

  • Imam ath-Thabrani dan Imam al-Baihaqi telah meriwayatkan dari Sayyidina Abu Sa`id al-Khudri, Sayyidina Abu Hurairah, Sayyidina Jabir dan Sayyidina Ibnu Mas`ud r.'anhum bahawa Junjungan s.a.w. bersabda:

"Sesiapa yang memberi keluasan / kelapangan (yakni keluasan rezki) kepada keluarganya pada hari 'Asyura`, maka Allah akan meluaskan rezkinya sepanjang tahun tersebut."

Berhubung hadis ini muhadditsin berbeza pendapat, ada yang mensabitkannya dan ada yang mendha`ifkan. Imam as-Sayuthi dalam "ad-Durarul-Muntatsirah" mensabitkan hadis ini sebagai sahih. Syaikh Zainuddin al-Malibari menulis dalam "Irsyadul 'Ibad ila Sabilir Rasyad" bahawa Imam Sufyan bin 'Uyainah berkata: "Kami telah mengamalkan hadis ini selama 50 atau 60 tahun, dan benar-benar sedemikian (yakni terjadi seperti yang dinyatakan dalam hadis tersebut, iaitu luas rezki sepanjang tahun).

*** Syaratnya hendaklah dari sumber dan makanan yang halal serta tidak disertai perasaan riya' dan pembaziran. Bagi yang kurang berkemampuan, hendaklah mempelokkan akhlak terhadap ahli keluarga dan memaafkan orang yang pernah melakukan kezaliman terhadap kita.

Manakala amalan lain, (3) hingga (12), sebahagian daripadanya diambil daripada dari hadith yang dhoif dan sebahagian daripadanya diambil daripada hadith munkar maudhu'.Namun demikian, memanfaat hadith dhoif dalam perkara yang berkaitan dengan fadhilat 'amal, adalah diharuskan kerana ulama hadith bersikap toleransi dalam permasalahan seperti ini. Manakala dari segi fadhilat pula, tidak lain tidak bukan adalah untuk memberi ransangan kepada kita untuk melakukan ketaatan kepada Allah.

Puasa Hari Tasu'a (ke 9 Muharam)

Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Ghatfan ibn Torif al Murri berkata:Aku mendengar Abdullah ibn Abbas R.A berkata :

Ketika Rasulullah sedang berpuasa hari Asyura dan menyuruh sahabat Baginda berpuasa, merek berkata : Wahai Rasulullah, sesungguhnya ia (hari asyura) adalah hari yang dimuliakan oleh orang Yahudi dan Nasrani. Maka Rasulullah bersabda, "Pada tahun hadapan sekiranya diizinkan oleh Allah, kami akan berpuasa pada hari yang kesembilan (Muharam)".

Berkata ibn Abbas R.A, " Maka tidak datang tahun berikutnya sehingga wafatnya Rasulullah."

Daripada ibn Abbas R.A, bahawa Rasulullah bersabda: "Sekiranya aku masih hidup hingga ke tahun akan datang, sudah pasti aku akan berpuasa pada hari yang ke-9 (Muharam)."

Hikmah

Para ulama menyebutkan bahawa hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu`a' (sembilan Muharram) itu adalah untuk :

i. Menyalahi atau membezakan amalan orang-orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari `Asyura' (sepuluh Muharram) sahaja.

ii. Bagi maksud berhati-hati berpuasa pada hari `Asyura' kerana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muharram itu dalam pengiraan adalah hari yang kesepuluh Muharram yang sebenarnya.

Sumber rujukan utama : Buku 'Amalan Awal Muharram dan Hari Asyura' yang dikarang oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki.

Alfana :

Buku tersebut terdapat dalam koleksi buku-buku saya..Sesiapa nak pinjam untuk mendapatkan bahan bacaan lanjut, boleh maklumkan..nak beli pun boleh, tapi lambat sket la boleh dapat..

Selasa, Disember 01, 2009

Persoalan Sekitar Hukum

Soalan 1 : Boleh tak kita solat kat rumah orang kafir
Jawapan : Boleh berdasarkan hadith Nabi :
Dari Abu Dzar r.a bertanya:”Ya Rasulullah! Masjid manakah yang mula-mula dibangun kan di muka bumi ini?” Jawab Rasulullah s.a.w :’Masjidil Haram!” Aku bertanya lagi:”Sesudah itu masjid apa?” Jawab baginda:”Masjidil Aqsa!” Aku bertanya lagi:”Berapa lamakah jarak antara kedua masjid itu dibangunkan?” Jawab baginda:”Empat puluh tahun.. Dan di mana sahaja kamu berada jika waktu solat telah tiba, maka solatlah (segera) kerana bumi ini adalah masjid (tempat sujud).”
(Muslim)
Sumber hadith : JAKIM
Di samping itu, ia sebagai keringanan bagi orang yang baru memasuki Islam yang pulang ke rumah ibu bapanya yang masih belum Islam. Tetapi ada juga pendapat menambah dengan syarat rumah atau tempat solat tersebut perlulah diyakini bersih daripada segala kekotoran dan tidak terdapat patung/berhala di dalamnya. Sesungguhnya setiap inci bumi ini adalah milik Allah dan setiap permukaan bumi ini dikira masjid bagi orang Islam. (Tapi jangan pula solat dalam tandas pula tau..yang tu konfem tak boleh). Juga dibolehkan selagi mana tidak mendatangkan fitnah, ancaman atau mudarat pada Islam. Wallahu'alam (Allah yang lebih mengetahui)
p/s : kalo ustazah ada info terkini, ustazah maklumkan ye..

Soalan 2 : Tindakan terhadap jiran yang suka maki
Jawapan : Alhamdulillah, aisyah mempunyai perasaan untuk membenci sikap tersebut (bukan benci pada orangnya tau). Dalam kes sebegini, sememangnya sikap tersebut adalah sifat mazmumah (buruk).Sebagaimana firman Allah dalam Surah AnNisa':
Ayat 148 = Allah tidak menyukai ucapan buruk[371], (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya[372]. Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
[371]. Ucapan buruk sebagai mencela orang, memaki, menerangkan keburukan-keburukan orang lain, menyinggung perasaan seseorang, dan sebagainya.[372]. Maksudnya: orang yang teraniaya oleh mengemukakan kepada hakim atau penguasa keburukan-keburukan orang yang menganiayanya.

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :” Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat.” (Hadith riwayat Ahmad dan Tirmizi)
Huraian :
(i) Memperli, memperolok-olok, mengejek, menghina, memperleceh, memperlekeh, memanggil dengan gelaran yang memalukan, menyatakan kekurangan orang secara terang-terangan dan sebagainya adalah perbuatan yang sangat dilarang oleh Allah.
(ii) Sesiapa yang mencaci orang lain sebenarnya dia mencaci dirinya sendiri. Sebaiknya selaku umat Islam kita hendaklah hidup saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan tolong-menolong. Justeru, apabila mendengar celaan, kita sepatutnya bertindak menyembunyikan keburukan tersebut sekalipun seseorang yang dicela itu memang telah melakukan sesuatu dosa yang mengaibkan kerana kemungkinan orang itu telah bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian ganjarannya adalah amat besar di akhirat kelak.

Tindakan :
1. Sebagai jiran, kita hendaklah menegur perbuatan tersebut sekiranya mampu.
2. Sekiranya tidak mampu, kita tunjukkan sikap yang baik (dakwah bil hal-dakwah dengan akhlak yang baik). Segala kata-kata yang buruk itu kita balas dengan senyuman. Jangan api lawan dengan api, tentu bertambah marak. Seperti pokok buah, dibaling dengan batu, dibalas dengan buah (fikir-fikirkan).
Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata-kata dengan kebaikan atau jika tidak, hendaklah dia diam sahaja. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya.”
(al-Bukhari dan Muslim)
3. Dalam masa yang sama, cuba maklumkan pada sesiapa yang dihormati oleh jiran tersebut, contoh ibu bapanya, guru yang disayanginya, rakan baiknya atau sesiapa sahaja yang berakhlak mulia yang dihormatinya, agar menegur perbuatan tersebut.
4. Jangan lupa, sentiasa doakan moga2 suatu hari nanti, dia akan berubah sikap.

Khas untuk anak murid ustazah di SKBR, hayatilah hadis di bawah. Sebagai teguran bersama, sesungguhnya teguran itu tanda ustazah sayang pada kalian agar menjadi seorang muslim yang lebih baik pada masa akan datang,k.

Hadith :
Dari Abdullah bin Amru bin Ash r.a, katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Mencaci ibu bapa termasuk dosa besar.” Para sahabat bertanya:”Adakah orang yang mencaci ibu bapanya?” Jawab Rasulullah s.a.w ,:”Ya, ada! Dicacinya bapa orang lain, lalu orang itu mencaci bapanya pula. Dicacinya ibu orang lain, lalu orang itu mencaci ibunya pula.”
(Muslim)
Huraian :
Dalam kehidupan ini kita selalu ingin menjadi yang terbaik sehingga kita lupa bahawa kita telah menjangkau batasan orang yang baik-baik. Selaku seorang yang beragama Islam kita hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik. Hormati orang lain sebagaimana kita mahu diri kita dihormati. Orang yang biadap memiliki tiga ciri iaitu fikirannya buruk, ucapannya kasar dan perilakunya jahat. Orang demikian cenderung melakukan hal-hal yang tidak sepatutnya. Mereka tidak pandai menghormati orang dan suka mencaci maki orang tanpa menyedari bahawa kata-kata itu akan kembali kepada diri mereka sendiri mahupun ibu bapa mereka. Lebih dari itu mereka juga sebenarnya telah mencemarkan identiti sebagai seorang Islam yang sentiasa menyuruh umatnya agar berbudi bahasa dan berakhlak mulia.
Sumber : JAKIM
Wallahu'alam...

Ahad, Oktober 18, 2009

Kajian tentang hadith : Hari Kiamat

Sekadar renungan kita bersama bahawa mati itu kian mendekati...
kubur kata mari..dunia kata pergi...
Cuba perhatikan masa kejadian gempa bumi berlaku sama dengan nombor ayat dalam Al-Quran....kebetulan atau petunjuk drNya..wallahu'alam. Artikel di bawah saya ambil dr salah satu blog yg agak menarik. Untuk info yang lebih membuatkan kita berfikir,klik sini.

Diambil dari sini!

Gempa bumi dengan magnitud 7.6 yang melanda Sumatera Barat kira-kira 5.16 petang waktu Indonesia Barat semalam mengakibatkan beberapa bangunan utama di Padang mengalami kerosakan teruk, seperti Rumah Sakit Umum Pusat M Jamil Padang, Rumah Sakit Selasih dan Hotel Rocky.

Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.Al-Israa ayat 16. (17:16)

Dipetik dari sini!

Jambi (ANTARA News) - Gempa bumi tektonik berkekuatan 7,0 Skala Richter (SR) yang menggoncang Kabupaten Kerinci, Provinsi Jambi, Kamis pukul 08.52 WIB di 46 Km tenggara Sungaipenuh, di kedalaman 10 Km, merusak lebih dari seribu rumah warga di sejumlah desa di daerah itu.

(Keadaan orang-orang kafir itu) samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu dari mereka. Mereka kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, lalu Allah menyeksa mereka dengan sebab dosa-dosa mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha berat seksaNya. Al-Anfaal ayat 52. (8:52)

Waktu-waktu lain saya tidak dapat pastikan kebenarannya. Mungkin betul, mungkin tidak. Apa yang mahu saya kongsikan di sini sebenarnya adalah 3 tanda kiamat besar yang telah terjadi pada tahun ini sahaja secara berterusan!

Seperti sabda Rasullulah,Nabi saw. bersabda:“Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya”. Kemudian beliau menyebutkannya: “Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam a.s, Ya’juj dan Ma’juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka”.Hadis Riwayat Muslim

3 kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab. Hal ini saya tidak perasan sebelum ini, tetapi pada malam ini tiba-tiba terdetik tentang perkara ini. Entah kenapa tiba-tiba hati saya terdetik untuk menyelidiki tentang hadis ini secara lebih mendalam lagi.

Apa yang mahu saya tegaskan di sini ialah, ketiga-tiga gempa bumi itu telah berlaku dalam tahun ini sahaja!

Pertama, gempa di timur.

Perkara ini baru sahaja berlaku di Padang, Indonesia. Tidak perlu saya ulas lanjut tentang gempa ini kerana saya percaya anda semua sudah sedia maklum tentang gempa bumi ini.

Gempa bumi di barat.

Gempa bumi di barat telah berlaku di bandar L'Aquila, Itali pada 6 April 2009i. Seramai 90 orang meninggal dan 10 000 orang kehilangan tempat tinggal akibat gegaran 6.3 pada skala ritcher. Untuk maklumat lanjut dan bukti, sila klik sini!
Gempa bumi di Semenanjung Tanah Arab
Dipetik dari Kosmo!

RIYADH - Perkhidmatan pemantau gempa bumi Arab Saudi menggesa penduduk di beberapa buah kampung di barat negara itu berpindah selepas gegaran berukuran 5.39 pada skala Richter dikesan berlaku.
Pusat Gempa Bumi dan Gunung Berapi Kebangsaan Arab Saudi menyatakan dalam satu kenyataan bahawa satu gempa bumi yang berlaku menjelang Subuh itu tidak menyebabkan kerosakan, kematian atau kecederaan.
Bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan semalam meminta penduduk di lima buah kampung di barat kota Mekah supaya berlindung di khemah-khemah perlindungan yang dibina oleh pihak berkuasa.
Stesen-stesen televisyen Arab melaporkan bahawa kebanyakan penduduk sudah berpindah ke pusat perlindungan itu.
Pihak berkuasa turut mengedarkan topeng perubatan selepas orang ramai membuat aduan mengenai bau yang tidak menyenangkan akibat gempa bumi itu.
Sebelum ini, gempa bumi berukuran 4.9 pada skala Richter turut dikesan berlaku di kawasan sama. - AP

Adakah tanda-tanda yang ditunjukkan ini hanyalah kebetulan semata-mata? Terpulang kepada anda untuk menafsirkannya. Tujuan saya menulis artikel ini hanyalah untuk peringatan kepada saudara seislam saya. Hanya Allah yang maha mengetahui segalanya.

Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahwa al-Quran itu benar. Dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahwa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu.( Fussilat 41: 53)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Nak Kenal Lagi??

Emel = alsalsabil@hotmail.com
YM = zanjabil27@yahoo.com
FS = laislamic@yahoo.com

Great Morning ©  Copyright by RaUDhaH Al-BaAn | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks