Rabu, September 29, 2010

Corakan di 'kain putih'

Rasulullah s.a.w. bersabda : Lahirnya seorang anak itu dengan keadaan fitrah suci bersih. Kedua ibu bapanyalah yang membentuknya menjadi yahudi, nasrani atau majusi. Sebagaimana binatang ternakan melahirkan anaknya (dengan sempurna kejadian dan anggotanya), adakah kamu lihat hidung, telinga atau mana-mana bahagian anggotanya terpotong?
-Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a-

Muqaddimah
Ya, kanak-kanak itu sememangnya mengikut acuan ibu bapanya dan pendidikan yang diterima sejak kecil. Tidak mustahillah jika pendidikan awal kanak-kanak sangat diambil penekanan yang sewajarnya. Antara buku yang sesuai dibaca ialah Tarbiyatul Awlad karya Abdullah Nasih Ulwan.

Bukan untuk bercerita panjang mengenainya cuma aku ingin berkongsi sedikit coretan hidup berkisar mengenai topik ini. Sejak akhir-akhir ini sengaja ku letakkan gambar seorang muslim yang merupakan adik sepupuku yang agak rapat denganku. Bukan sebarangan gambar lelaki yang boleh muncul dalam profile ku seandainya si dia tidak penting padaku.


Syamil Mukhriz
Itulah namanya. Anak bongsu daripada dua beradik. Sejak kecil kerenahnya sangat menghiburkan hati walaupun waktu kecil agak sukar juga mengambil hatinya...tapi aku la yang paling awal akan dapat menawan hatinya. Kerenahnya itu juga membuatkan aku dan kak long rindu untuk bertemunya. Rutin setiap kali menjelang Hari Raya Eidulfitri, Syamil dan abangnya Shahir Najmi akan ditinggalkan kedua ibu bapa mereka kepada keluarga kami disebabkan tuntutan tugas yang tidak dibenarkan bercuti ketika musim perayaan. Namun disebabkan sudah kecil dibiasakan begitu, tiada masalah bagi mereka untuk tinggal bersama kami. Tiada sebarang tangisan rindu pada mak ayah, rengekan mengada-mengada atau sebagainya..mereka sangat pandai berdikari.

Kenangan Puasa 1431H
Sahur pertama di kampung. Sangat mudah untuk mengejutkan adik (panggilan untuk Syamil) dan abangnya. Sekali kejut sahaja mereka sudah bangun dan ke bilik air. Adik sahur nasi bersama kami tapi abangnya hanya meminta roti. Rupa-rupanya mereka berdua biasanya sahur roti sahaja di rumah (macam orang putih pula...) ya, adik tanpa sebarang kerenah hanya menyuap nasi sehingga licin sepinggan.
"Dik, dah niat puasa lom?" peringatanku pada Syamil. "Dah" jawabnya sambil mula membaringkan diri semula. "Aik, takkan nak tidur dah. Subuh tak lama lagi, dah tidur nanti liat pula nak bangun" "Adik tak tidur la...baring je..." helahnya."Tu..kak ngah duk atas kerusi dengan bantal, nak tidur ek?" "Mana ada la..." pandai betul dia nak 'kene'kan aku pula..satu inzar pada diri juga agar tak terlena. "Dik, azan subuh dah. Bangun...tak baik baring masa azan" ingatku dan sekilas pantas dia bangun menuruti. "Jom solat dulu...pastu boleh tidur balik kalau mahu" pesanku...sian pula melihat matanya seolah-olah menahan mengantuk. Syamil dan abangnya berwudhu' lantas menunaikan solat subuh berjemaah di rumah sahaja. Si abang menjadi imam dan syamil mengikuti sebagai makmum. Pada usia abang yang sudah 11 tahun dan si adik 7 tahun, mereka sudah sedar kepentingan solat berjemaah tanpa perlu disuruh.

Kenangan lalu
Teringat kisah setahun yang lepas...ketika itu aku menyuruh mereka solat berjemaah buat kali pertama..si abang teragak-agak namun si adik 'slamber' sahaja..
"Abang, cepatla...abang azan" kata Syamil. "Eh...adik la azan. Abang kan imam" celahku mengingatkan. Syamil azan dengan penuh yakin dan aku betulkan sekadar perlu. Solat pun bermula.. 2 minit berlalu...si abang tak takbir-takbir lagi. Syamil sesekali meninjau abangnya dari belakang. Agaknya dalam hati 'nape la abang aku ni tak mula-mula lagi'... Aku pun musykil juga lantas bertanya pada si abang, "Kenapa tak mula lagi?" "Abang tak yakin boleh jadi imam" luah Shahir. "La abang ni...Biar adik jela jadi imam...." tingkah si adik. "Eh..tak boleh. Abang dah sunat, adik belum. Lagipun abang lagi layak jadi imam." nasihatku pada Syamil. Kene jaga status si abang juga."Tak pe, abang cuba dulu" ku beri semangat. Alhamdulillah, akhirnya solat mereka selesai jua.

bersambung siri berikutnya...



Selasa, September 21, 2010

Laskar Pelangi

~ Sudah kumiliki versi novel & DVD...sangat menyentuh hati..disarankan untuk mencubanya~


Sebuah cerpen di Kompas Minggu.Cerpen yang menceritakan seorang Ibu yang membiasakan anaknya untuk sarapan kopi pahit dan roti tawar.Kurang lebih dialog Ibu itu berbunyi demikian,"Ayahmu membiasakan diri minum kopi pahit untuk membiasakan diri karena hidup tidak selamanya akan berjalan manis.Ayahmu membiasakan sarapan roti tawar untuk mebiasakan diri karena kehidupan memang terkadang tidak bisa ditawar.Maka ayahmu tetap tegar dan kuat sampai akhir hayatnya".Maka laskar pelangi memneri nilai bahwa sebuah kepahitan dan kegetiran harus diperjuangkan bukan diratapi.Sebuah kegetiran hidup siapa mampu menawar?.Barangkali esok atau lusa kita pun akan mengalaminya.

...dipetik di sini

Isnin, September 20, 2010

Puasa Enam : ...boleh disatukan dengan Puasa Qadha'?


MATLAMAT puasa jika dikerjakan dengan penuh penghayatan akan dapat membentuk manusia menjadi orang yang bertakwa sebagaimana perkara ini dijelaskan oleh Al-Quran.

Di samping itu puasa juga merupakan ibadat yang istimewa di sisi Allah Subhanahu Wataala kerana setiap ganjaran atau balasan kepada orang yang berpuasa diberikan dan dinilai oleh Allah Subhanahu Wataala sendiri sebagaimana yang disebut oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya :

"Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Allah Subhanahu Wataala berfirman : "Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya (dapat diperiksa sendiri dan dinilai baik buruknya), melainkan amalan puasa, maka sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) dan oleh sebab itu Aku sendirilah yang akan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa." (Hadis riwayat Bukhari).

Puasa Ramadan adalah diwajibkan kepada umat Islam pada setiap tahun berdasarkan ayat Al-Quran dan hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Begitu juga disunatkan ke atas orang Islam berpuasa sunat atau tathawwu’ di hari atau bulan yang lain seperti melakukan puasa ‘Asyura, hari ‘Arafah, puasa di bulan Syaaban, puasa mingguan pada hari Isnin dan Khamis, puasa enam hari pada bulan Syawal yang biasanya disebut sebagai puasa enam.

Pada siri Irsyad Hukum kali ini kita akan membicarakan mengenai beberapa perkara yang berhubung dengan puasa enam.

Puasa enam ialah puasa yang dikerjakan dengan berturut-turut atau berselang-selang sebanyak enam hari pada bulan Syawal selepas Hari Raya Fitrah.Puasa enam itu sunat dikerjakan oleh orang yang telah mengerjakan puasa Ramadan sebulan penuh dan juga sunat dikerjakan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syarak seperti haid dan nifas, musafir atau orang sakit. Manakala bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja adalah haram melakukan puasa enam kecuali setelah selesai mengqada puasanya. Namun ganjaran pahala puasa enam bagi orang yang tidak berpuasa penuh bulan Ramadan tidak sama dengan ganjaran pahala bagi orang yang mengerjakan puasa enam selepas mengerjakan puasa Ramadan sebulan penuh.

Sunat puasa enam ini berdasarkan sabda Baginda yang maksudnya :

"Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun." (Hadis riwayat Muslim).

Para ulama berselisih pendapat mengenai waktu atau masa mengerjakan puasa enam itu. Sebahagian besar ulama berpendapat puasa enam itu dilakukan dengan berturut-turut selepas Hari Raya mulai Hari Raya kedua dan seterusnya. Manakala ulama muta’akhirin pula berpendapat puasa enam itu harus dilakukan secara tidak berturut-turut seperti berselang-seli dan sebagainya selama dalam bulan Syawal. Walau bagaimanapun mengerjakannya dengan berturut-turut selepas Hari Raya adalah lebih afdal.

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari dalam bulan Syawal setelah berpuasa Ramadan sebulan penuh diibaratkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai berpuasa sepanjang tahun kerana sebulan puasa Ramadan itu menyamai puasa sepuluh bulan dan puasa enam pula menyamai dengan 60 hari atau dua bulan. Jika dicampurkan sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia setahun, itulah yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun. Perkara ini dijelaskan lagi dalam sebuah hadis, sabda Baginda yang maksudnya :

"Berpuasa sebulan (disamakan) dengan sepuluh bulan puasa, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan) dengan dua bulan puasa, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genap setahun." (Hadis riwayat Al-Darimi).

Berdasarkan hadis di atas juga, sebahagian ulama menjelaskan bahawa puasa enam hari dalam bulan Syawal diberikan ganjaran yang sama dengan ganjaran puasa di bulan Ramadan, kerana setiap kebajikan itu dibalas atau diberikan dengan sepuluh kali ganda. Sebagaimana juga mereka mengatakan : "Membaca Surah Al-Ikhlas itu sama dengan membaca sepertiga Al-Quran.

"KEWAJIPAN MENGQADA PUASA

Puasa Ramadan yang ditinggalkan adalah wajib diqada sebanyak hari yang ditinggalkan itu sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah dalam firman-Nya yang tafsirnya :

"Maka wajiblah dia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain." (Surah Al-Baqarah : 184).

Kewajipan mengqada puasa itu tidak kira sama ada puasa itu ditinggalkan dengan sengaja atau kerana keuzuran kecuali orang-orang yang benar-benar tidak berdaya mengerjakannya seperti orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh. Mereka tidak diwajibkan mengqada puasa yang ditinggalkan itu tetapi wajib membayar fidyah sebagai ganti puasa yang ditinggalkan. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu Wataala yang tafsirnya :

"Dan wajib atas orang-orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin." (Surah Al-Baqarah : 184).

Dalam mengerjakan qada puasa ini, para ulama berpendapat bahawa orang-orang yang meninggalkan puasa tanpa uzur adalah wajib menyegerakan qada puasa tersebut. Dan mereka tidak diharuskan bahkan haram melakukan puasa-puasa sunat termasuk puasa enam hari di bulan Syawal.

Puasa qada boleh dilakukan pada bila-bila masa kecuali pada hari-hari yang diharamkan berpuasa seperti Hari Raya Fitrah, Hari Raya Haji atau pada hari-hari Tasyriq dan sebagainya dan ia wajib disegerakan sebelum masuk Ramadan yang baru.

Jika qada puasa hendak dikerjakan pada bulan Syawal ia boleh dilakukan bermula pada Hari Raya Kedua (2 haribulan Syawal). Bagi mereka yang diharuskan meninggalkan puasa kerana keuzuran yang dibenarkan oleh syarak seperti orang perempuan yang haid atau nifas, orang sakit atau orang musafir (dalam perjalanan) dan lain-lain, sunat bagi mereka mengerjakan puasa enam sekalipun mereka masih mempunyai qada. Walau bagaimanapun menurut para ulama ganjaran yang bakal diterimanya tidaklah sama dengan ganjaran pahala yang diterima oleh mereka yang berpuasa enam setelah berpuasa penuh satu bulan Ramadan.

Berbanding dengan orang-orang yang meninggalkan puasa Ramadan tanpa keuzuran atau dengan sengaja, diharamkan ke atas mereka mengerjakan puasa enam pada bulan Syawal itu kerana mereka diwajibkan menyegerakan qada tersebut.

Manakala bagi orang yang luput keseluruhan puasa Ramadan (selama satu bulan) kerana keuzuran yang diharuskan oleh syarak, jika dia mengerjakan puasa qadanya pada bulan Syawal, disunatkan (mustahab) ke atasnya mengqada puasa enam itu dalam bulan Zulkaedah. Walau bagaimanapun, menurut ulama dia hanya mendapat ganjaran sebagaimana yang disebutkan oleh hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu orang yang berpuasa Ramadan dan diikuti dengan puasa enam pada bulan Syawal diibaratkan berpuasa selama satu tahun.

MENYATUKAN PUASA QADA DENGAN PUASA ENAM

Bagi orang yang hendak melakukan qada puasa Ramadan (meninggalkannya kerana keuzuran yang dibolehkan oleh syarak), ia boleh dilakukan sekaligus dengan puasa enam dalam bulan Syawal. Caranya ialah orang tersebut hendaklah berniat bagi kedua-duanya iaitu puasa qada dan puasa sunat tersebut dengan tujuan bagi mendapatkan ganjaran kedua-dua sekali (iaitu ganjaran puasa qada dan ganjaran puasa sunat).

Hal ini sama seperti orang yang berniat puasa wajib sama ada puasa qada atau puasa nazar atau puasa kafarah, pada hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti hari Arafah atau pada hari Isnin dan Khamis atau pada hari ‘Ayura dan puasa-puasa sunat yang lain seumpamanya.

Dalam menunaikan puasa tersebut, jika dia berniat kedua-duanya sekali iaitu puasa qada dan puasa sunat seperti puasa hari Arafah atau puasa-puasa sunat yang lain, maka dia akan mendapat ganjaran bagi puasa sunat dan puasa wajib tersebut. Tetapi jika dia berniat hanya bagi puasa sunat sahaja atau puasa wajib sahaja, maka dia hanya akan mendapat gambaran bagi puasa yang diniatkannya sekalipun ia dilakukan pada hari yang bertepatan antara puasa wajib dan puasa sunat itu.

Ibnu Hajar Al-Haitami dalam fatwanya menjelaskan, mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib seperti di atas dengan katanya maksudnya :

"Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib) dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya." (Al-Fatwa Al-Kubra : 2/75).

Walaupun menyatukan puasa qada dengan puasa enam itu diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya, namun ganjaran tersebut tidaklah menyamai ganjaran pahala seperti yang disebut dalam hadis di atas. Walau bagaimanapun sikap menyegarakan qada puasa itu sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak kerana ganjaran dan pahala ibadat puasa itu hanya Allah Subhanahu Wataala sahaja yang menilai dan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa.

~sumber : Mufti Brunei~

Isnin, September 06, 2010

Tenanglah Wahai Hati 1

"Barang siapa yang dikehendaki Allah menjadi orang baik, maka musibah (ujian) ditimpakan kepadanya." (H.R. Bukhari)

Sahabat,
Jika badai kehidupan menderamu, bersabarlah.
Ikhlaskan hatimu dan berjuanglah kerana dengan itu engkau kan mulia.
...Tiap tangisan kan berujung senyuman, kegelisahan kan berganti ketenangan, dan ketakutan kan berakhir dengan rasa aman.
Bersama kesulitan selalu ada kemudahan....

....bersambung

Andai ini Ramadhan terakhir


Andai kita tahu ini Ramadhan terakhir..

masih ada kesempatan untuk melaksanakan solat di awal waktu
solat yang dikerjakan.. .sungguh khusyuk lagi tawadhu'
tubuh dan qalbu...bersatu memperhamba diri
menghadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...]

andai kita tahu ini Ramadhan terakhir.. ..

tidak akan kita sia siakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan Al-Quran senantiasa kita bacakan dan perdengarkan kehadapan MU ...ya Rabb

andai kita tahu ini Ramadhan terakhir..

setiap malam kita sibukkan dengan
bertarawih.. .berqiamullail. ..bertahajjud. ..
mengadu...merintih. ..meminta belas kasih
"sesungguhnya aku berharap untuk ke syurga-MU
dan....aku tak sanggup untuk ke neraka-MU"

andai kita tahu ini Ramadhan terakhir..

kita akan selalu bersama dengan mereka yang tersayang
kita isi Ramadhan dengan hal yang bermanfaat
kita buru...kita cari..suatu malam idaman
yang lebih baik dari seribu bulan

andai kita tahu ini Ramadhan terakhir..

kita bakal menyediakan batin dan zahir
mempersiapkan diri...rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
di kiri dan kanan ...lorong-lorong redha Ar-Rahman

Duhai Illahi...

andai ini Ramadhan terakhir buat kami
jadikanlah Ramadhan ini paling berarti...paling berseri...
menerangi kegelapan hati kami
menyeru ke jalan menuju redho serta kasih sayangMu ...Ya Ilahi
yang bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti

Namun teman....

tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi diri kita
yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah
berusaha...bersiap-siap ...bersedia ...meminta belas-NYA

Marhaban ya Ramadhan,

Bulan dimana nafas kita menjadi tasbih, tidur kita menjadi ibadah, amal kita diterima dan do'a kita di ijabah,
Sebelum cahaya syurga padam,
Sebelum hidup berakhir,
Sebelum pintu taubat tertutup,
Sebelum Ramadhan datang,
dan untuk menambah khusyu'nya ibadah di bulan yang suci - yang penuh dengan barakah serta ampunan ini, saya secara peribadi ingin menghulurkan PERMOHONAN MAAFz ahir dan batin,

Semoga kita semua senantiasa berada dalam Rahmat dan Hidayah ALLAH SWT serta selalu sihat dalam melaksanakan ibadah Ramadhan.

Taqqobalahu Minna Waminkum, Taqoballahu Ya Karim,

~ karya seorang sahabat fb...perkongsian bermakna ~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Nak Kenal Lagi??

Emel = alsalsabil@hotmail.com
YM = zanjabil27@yahoo.com
FS = laislamic@yahoo.com

Great Morning ©  Copyright by RaUDhaH Al-BaAn | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks