Sabtu, Januari 30, 2010

Fitnah Dunia

Entri kali ini adalah sekadar secubit luahan rasa apa yang kupendam selama ini.Sebenarnya aku lebih berminat untuk memerhati sahaja apa yang berlaku.Namun, akhir-akhir ini terasa ingin berkongsi sedikit inzar khusus untuk DIRI SENDIRI yang bernama manusia.

Rasulullah s.a.w bersabda: Kelak akan menimpa umatku penyakit umat-umatku terdahulu, iaitu penyakit sombong, kufur nikmat, dan lupa diri dalam memperoleh harta dan bermegah-megah dengan harta. Mereka terjurumus dalam jurang kemenangan dunia, saling bermusuhan, saling iri dengki dan dendam sehingga melakukan kezaliman.
(Hadith Riwayat Al-Haakim)

Rasulullah s.a.w. pernah mengingatkan kita bahawa di akhir zaman nanti fitnah akan berlaku di mana-mana sahaja. 'Jahat'nya fitnah ini sehinggakan ianya dikatakan lebih teruk daripada membunuh. Akibatnya bukan sahaja pada jasad malah membawa kepada penyeksaan emosi dan segala-galanya bagi orang yang difitnah malah turut terkena tempiasnya orang-orang di sekelilingnya.

Sangat menyedihkan apabila seringkali kita sentiasa menceritakan perihal orang lain.. "Si polan itu ...sekian .... sekian... ","Betul ke dia macam tu?","Aku dengar die......","Ada orang bagitau yang die tu ....sekian.... tapi sebenarnya.....sekian...","Ye ke..ntah-ntah alasan die je","Eleh..die pura-pura je tu"..... Malah lebih berat tuduhan lagi sehingga mengeluarkan kata-kata seperti 'sesat','futur','munafiq' dan lain-lain yang menyesakkan telinga.

Apa yang paling PENTING di sini...BETULkah dakwaan, cerita atau kata-kata kita yang dilemparkan kepada mereka? Andai sememangnya ianya betul sekalipun, siapakah kita untuk menghukum mereka? Melabelkan itu dan ini. Baik sangatkah kita? Dijaminkah kita di kalangan mereka (para sahabat) yang dijanjikan syurga? Sempurnakah kita daripada sebarang khilaf dan kesilapan? Sekiranya dakwaan itu hakikatnya tidak benar, maka memang layak untuk kita tergolong di kalangan orang-orang yang zalim.Na'uzubillah.

Aku sangat sedih apabila orang-orang yang berjuang di jalan Allah difitnah, dihina, disindir dan dituduh bukan-bukan sedangkan orang yang memfitnahnya sangat 'jauh' taraf keilmuan mereka berbanding orang yang difitnah. Pengalamanku sendiri apabila suatu ketika, di dalam satu pertemuan bersama beberapa orang rakan, timbul isu mengenai seseorang individu yang dikatakan 'itu' dan 'ini'..walhal mereka tidak tahu yang aku sangat-sangat mengenali orang yang diceritakan itu. Tetapi aku mengambil sikap berdiam diri untuk mendengar apa yang inigin diperkatakan, sangat menyedihkan apabila cerita itu disebarkan hanya melalui perkhabaran dari mulut ke mulut bukan melalui pengalaman sendiri atau kajian realiti. Astaghfirullah al-'azim. Kukira sangat berat tuduhan tersebut.

Jika ditanya pengalaman diri sendiri, aku juga tidak dapat lari daripada menjadi bahan fitnah itu sendiri walaupun ku cuba elak sebaik mungkin. Aku merasakan perbuatan 'berdiam diri' itu lebih baik apabila menghadapi ujian ini. Alhamdulillah, sememangnya kebenaran pasti akan tertegak andai kita bersabar dan menyerahkan segalanya kepada Allah. Itu semua ku alami sendiri apabila orang yang memfitnahku akhirnya termalu sendiri dan ada juga yang memberi alasan 'tidak tahu menahu' walhal ianya telah jelas dari awal lagi. Rasa lucu pun ada juga...

Bukan niat untuk menceritakan mengenai hal orang lain. Apa yang terjadi pada diriku hanya sekadar perkongsian malah aku juga tidak pernah berdendam pada sesiapa yang pernah memfitnahku kerana mereka juga sama seperti aku, MANUSIA yang tidak pernah lepas daripada sebarang kesilapan. Namun, andai aku juga melakukan kesilapan, teguran dan bimbingan sangat dialu-alukan. Pesanan buat diriku dan pembaca sekalian, pahala kita yang sedikit ini janganlah kita 'sedekah'kan lagi pada orang lain..Islam memerlukan kita untuk bersama-sama memperjuangkannya di seluruh dunia tanpa sebarang permusuhan dan hasad dengki.

Cukuplah sehingga saat ini sahaja kita menceritakan mengenai hal orang lain sebelum kita menyelidikinya terlebih dahulu. Semakin banyak ilmu kita, bukan beerti kita sudah cukup hebat untuk mengkritik orang lain. Semakin banyak amal dan dakwah kita, bukan beerti kita boleh mengkritik usaha kecil orang lain. Malah jika kita selidiki sirah lalu, orang-orang alim tidak pernah berasa bangga dengan apa yang mereka miliki dan usahakan, malah mereka berasa amal mereka sangat sedikit berbanding orang lain.

Alfana : Sentiasalah ber'husnu zhan' dengan orang lain...Sama-samalah kita berdoa agar sentiasa tergolong di kalangan mereka yang tidak terpedaya dengan tipu daya syaitan yang 24 jam akan cuba mencari ruang untuk melalaikan hati kita dan menjerumuskan kita ke lembah dosa.


Ahad, Januari 24, 2010

Anak itu amanah

Di sebuah sekolah kebangsaan...

Kisah 1
Ustazah : Kamu tak mengaji ke di rumah?
Murid A : Mak saya tak nak hantar saya pergi mengaji.

Kisah 2
Murid B : Ustazah, ada satu pagi tu saya ingatkan mak saya pergi bersenam, rupenye mak saya main game..

Kisah 3
Ustazah : Betul ke kamu pernah lari dari rumah?
Murid C : Betul (dengan muka sedikit tunduk)
Ustazah : Kenapa?
Murid C : Ayah saya panas baran. Dia akan pukul saya. Saya takut.

Kisah 4
Murid D : Ustazah, saya tak pernah solat jemaah sebab tak pernah pergi masjid?
Ustazah : Di rumah?
Murid D : Camne nak solat ustazah, ayah saya pun tak pernah solat. Solat jumaat pun tak pernah pergi.

Itulah antara senario yang benar-benar berlaku dan tidak mustahil ianya berlaku hampir di semua sekolah kebangsaan tidak kira di pedalaman mahupun di bandar. Melihat muka mereka yang begitu naif membuatkan aku merasa sangat kasihan dan terasa besarnya amanah yang perlu dipikul dalam mentarbiyah mereka untuk menjadi seorang muslim yang sebenar. Betapa jujurnya mereka dan pastinya itu bukanlah satu cerita rekaan semata-mata...Hakikatnya, proses pentarbiyahan ini akan menjadi agak sukar andai tidak mendapat kerjasama daripada ibu bapa dan masyarakat sekeliling. Fokusnya di sini adalah galakan dan bimbingan ibu bapa sejak mereka kecil sehinggalah meningkat dewasa.

Suka untuk aku berkongsi beberapa kisah/kata-kata teladan untuk tatapan dan renungan kita semua...

Teladan 1
Abul Laits As-Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Hurairah r.a. berkata Nabi Muhammad SAW bersabda: "Hak anak yang harus dilaksanakan oleh ibu bapa ada tiga iaitu: Memilihkan nama yang baik ketika lahir; Mengajari kitab Allah SWT (Memberi didikan agama); Harus dikahwinkan jika telah dewasa."

Teladan 2
Seorang datang kepada Saidina Umar r.a. lalu berkata: "Puteraku ini durhaka kepadaku." Maka Umar r.a. berkata kepada anak lelaki itu: "Apakah kau tidak takut kepada Allah SWT? Engkau telah berbuat durhaka terhadap ayahmu, engkau tahu kewajipan anak untuk orang tuanya ......(begini dan begitu)." Lalu anak itu bertanya: "Ya Amirul Mukminin, apakah anak itu tidak berhak terhadap ayahnya?" Jawab Umar: "Ada hak yakni harus memilihkan ibu yang bangsawan, jangan sampai tercela kerana ibunya, harus memberi nama yang baik, harus mengajari kitab Allah SWT." Maka berkata anak itu: "Demi Allah, dia tidak memilihkan untukku ibuku, dia membeli budak wanita dengan harga 400 dirham dan itu ibuku, dia tidak memberi nama yang baik untukku, saya dinamai kelawar jantan dan saya tidak diajari kitab Allah SWT walau satu ayat." Maka Umar r.a. menoleh kepada ayahnya dan berkata: "Engkau telah durhaka kepada anakmu sebelum ia durhaka kepadamu. Pergilah engkau dari sini!"

Teladan 3
Abul Laits berkata: "Saya telah mendengar ayahku bercerita dari Abu Hafsh Alyaskandi seorang ulama di Samarqand ketika didatangi oleh seorang yang mengeluh kerana dipukul oleh anaknya hingga sakit. Abu Hafsh berkata: "SubhanAllah, apakah ada anak yang memukul ayahnya?" Jawab lelaki itu: "Benar, saya dipukul hingga sakit." Lalu ditanya: "Apakah kau tidak mendidik anakmu dengan adab dan sopan?" Jawab lelaki itu: "Tidak." "Apakah sudah diajari Al-Quran?" ditanya lagi. Jawab lelaki itu: "Tidak." "Lalu apakah pekerjaan anak mu itu?" "Anakku itu bertani," jawab lelaki itu. Abi Hafsh berkata: "Engkau tahu mengapakah dia memukul engkau?" Jawabnya: "Tidak." Abu Hafsh berkata: "Mungkin ketika ia sedang di atas himar menuju ke sawah ladang menyanyi dan bersiul sedang di kanan kirinya kerbau dan lembu dan di belakangnya anjing, tiba-tiba engkau menegur padanya, kerana ia mengira engkau itu lembu sedang mengganggu maka ia memukul engkau, sungguh beruntung dan ucapkan Alhamdulillah kerana ia tidak memukul kepalamu."

Ahad, Januari 17, 2010

Dakwah Pemain Bola


Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.
(Surah Al-Baqarah : 208)

Di sebuah sekolah di pinggir bandar...di dalam kelas tingkatan empat

Guru/Muallimah : Naim, apa cita-cita enta?
Naim : Pemain bola
Muallimah : Boleh tapi mesti jadi pemain bola yang profesional dan bertaqwa
Teringat bekas anak muridku yang memang 'kaki bola'. Aku tidak berniat untuk mematahkan semangatnya atau menolak impiannya kerana setiap orang mempunyai kelebihan dan cita-cita masing-masing. Walau bagaimanapun untuk menjadi apa pun, perlulah ditetapkan matlamat sebagai seorang profesional yang bertaqwa, baru kita akan menjadi 'lain daripada yang lain'...

Apa yang menarik perhatianku baru-baru ini mengenai kisah seorang jurulatih bola sepak Mesir, Hassan Shehata yang hanya mahukan pemain yang mematuhi ajaran Islam dan pemilihan pasukan akan dibuat berdasarkan keimanan dan kemahiran. Kesemua pemain pasukan Mesir yang akan mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Piala Kebangsaan Afrika di Angola adalah beragama Islam. (sumber : Utusan Malaysia, 16 Januari 2010)

Selama bertahun-tahun atlet negara tersebut menunjukkan ketaqwaan mereka di hadapan peminat-peminat dan media dengan bersujud sebagai tanda syukur apabila menjaringkan gol atau memenangi sesuatu kejohanan serta menunaikan solat sebelum sesuatu perlawanan. Menurut Hassan, kemahiran sahaja tidak menjamin seseorang itu dipilih menyertai skuad kebangsaan. Menurutnya lagi, 'kewarakan' adalah kategori utama dalam pemilihan. Tanpanya, seseorang pemain itu tidak akan dipilih walaupun berpotensi tinggi.

Sebagai contoh, Muhammad Zidan, penyerang Mesir, pada mulanya adalah seorang yang tidak mengendahkan solat, justeru Hassan tidak memilihnya. Namun, sebelum perlawanan menentang Brazil, Hassan memujuknya untuk solat dan menjelaskan tentang kepentingan solat kepadanya. Mulai saat itu, Zidan melaksanakan solatnya dengan teratur.

Daripada sumber lain (http://www.eramuslim.com/) pula, apa yang menarik mengenai skuad di bawah bimbingan jurulatih ini ialah mereka alan melaksanakan solat pada waktunya, bahkan jika sedang dalam latihan, mereka berkumpul di padang untuk melaksanakan solat berjemaah dan selepas itu menyambung sesi latihan.

Selain itu, sesetengah daripada kita pasti pernah mendengar nama Muhammad Abu Trika iaitu salah seorang bintang pasukan Mesir yang mencetuskan kesedaran masyarakat sedunia apabila melakukan sujud syukur selepas menjaringkan gol dan memakai baju menyokong Palestin. Aksi Abu Trika itu telah mengundang komentar positif daripada Mufti Kongo Syeikh Abdullah Mangala Luaba kerana menurutnya, aksi tersebut merupakan salah satu penyebab banyaknya warga Kongo memeluk agama Islam.

Menurut Mufti tersebut : "Didorong rasa ingin tahu, mereka datang kepada kami dan meminta kami menjelaskan mengapa hal ini dilakukan oleh pasukan Mesir dengan bersujud sewaktu selesai menjaringkan gol, kami jelaskan kepada mereka bahwa itulah sujud syukur kepada Allah Yang Maha Esa agar para pemain selalu mendapat berkat dan rahmat, dan Islam menganjurkan hal itu, mereka akhirnya banyak bertanya tentang Islam dan Syariah, dan kami jelaskan hal itu semua kepada mereka sehingga banyak dari mereka akhirnya menerima Islam dan masuk Islam."

Oleh itu, hal ini perlu diberi perhatian sewajarnya bagi sesiapa yang terbabit atau ingin terlibat dalam bidang ini (arena bola sepak). Tidak ada makna sesuatu anugerah di peringkat nasional hatta antarabangsa, andai peranan UTAMA kita sebagai daie tidak kita laksanakan meskipun ianya hanyalah usaha yang nampak kecik tetapi memberi impak yang sangat besar. Atau adakah kita hanya gah berlabelkan Islam di dalam perlembagaan atau di dalam MyKad sahaja?

Sekadar renungan bersama....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Nak Kenal Lagi??

Emel = alsalsabil@hotmail.com
YM = zanjabil27@yahoo.com
FS = laislamic@yahoo.com

Great Morning ©  Copyright by RaUDhaH Al-BaAn | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks