Rabu, Disember 23, 2009

Hari Asyura_10 Muharram


Muqaddimah
Hari Asyura tahun ini adalah pada Hari Ahad (27 Disember 2009). Sepuluh Muharram dalam bahasa Arab disebut Asyura (Kesepuluh-merujuk kepada 10 Muharram). Ia menjadi penting antara lain diundangkannya untuk pertama kali sebagai hari berpuasa dalam sejarah Islam.

Amalan Hari Asyura

Antara amalan yang digalakkan diamalkan pada Hari Asyura ialah :
  1. Berpuasa

  2. Meluaskan makanan kepada ahli keluarga

  3. Menyapu kepala anak yatim

  4. Bersedekah

  5. Menghubungkan silaturrahim

  6. Mandi sunat (bersihkan diri)

  7. Potong kuku

  8. Memakai celak (bagi lelaki)

  9. Menziarahi orang-orang alim

  10. Menziarahi orang-orang sakit

  11. Solat sunat

  12. Membaca surah al-Ikhlas sebanyak 1000 kali

Al Allamah al Ujhuri R.A berkata : daripada 12 jenis amalan di atas, dua daripadanya sahaja yang benar-benar thabit daripada Rasulullah berdasarkan hadith yang sohih iaitu perkara (1) dan (2).

(1) Berpuasa

Hukum berpuasa pada hari ‘Asyura’ adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang amat dituntut. Anjuran berpuasa pada hari tersebut disebutkan dalam hadis Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang

  • diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan ialah bulan Muharram dan sebaik-baik sembahyang selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang pada waktu malam.”(Hadis riwayat Muslim)

  • Dalam hadis yang lain pula, Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma menceritakan:

Maksudnya:“Aku tidak melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mencari-cari puasa pada satu hari, (Baginda) mengutamakannya daripada hari-hari yang selainnya, kecuali hari ini iaitu hari ‘Asyura’, dan bulan ini iaitu bulan Ramadhan.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam turut berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan Baginda menyuruh umat Islam berpuasa supaya tidak terlepas peluang melaksanakan tuntutan sunat ini. Antaranya:

  • Diriwayatkan daripada Abdullah bin Sa‘id bin Jabir daripada ayahnya, daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhum, katanya:

Maksudnya:
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika sampai ke Madinah lalu melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’. Kemudian Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Apa ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari baik, Ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh-musuh mereka, lalu (pada hari ini) Nabi Musa berpuasa.” Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku lebih berhak untuk menghormati Musa daripada kamu.” Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa hari ‘Asyura dan menyuruh para sahabat untuk berpuasa pada hari tersebut.”(Hadis riwayat al-Bukhari)

  • Dalam hadis lain yang diriwayatkan daripada Humaid bin Abdul Rahman, dia mendengar Muawiyyah bin Abu Sufyan berkata di atas minbar pada hari ‘Asyura:

Maksudnya:
“Wahai penduduk Madinah, di manakah para ulama kamu? Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ini adalah hari ‘Asyura’, dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa. Namun aku berpuasa. Maka barangsiapa yang menghendaki untuk berpuasa, maka berpuasalah dan barangsiapa yang menghendaki untuk tidak berpuasa, maka berbukalah”. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kelebihan Puasa Hari 'Asyura

Berdasarkan hadis-hadis di atas, jelas bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menggalakkan umat Islam supaya melakukan puasa hari ‘Asyura’. Peluang seumpama ini tidak harus dilepaskan oleh umat Islam, apalagi jika mengetahui fadhilat yang diberikan kepada mereka yang melakukan puasa hari ‘Asyura’.

Fadhilat berpuasa hari ‘Asyura’ disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abi Qatadah Radhiallahu ‘anhu, RasulullahShallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“… Berpuasa pada hari ‘Asyura, aku mengira bahawa Allah akan menebus dosa tahun yang dahulunya (bagi orang yang berpuasa pada hari tersebut).” (Hadis riwayat Muslim)

Terdapat beberapa pendapat tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘tahun yang dahulunya’:

i. Tahun itu sendiri, iaitu sembilan hari sebelum hari ‘Asyura’.

ii. Sepanjang tahun sebelum hari ‘Asyura (iaitu bermula darihari ‘Asyura’ sebelumnya).

Imam Muslim meriwayatkan daripada Sayyidina Abu Qatadah al-Anshari r.a. bahawa Junjungan Nabi s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura` dan baginda menjawabnya: "yukaffirus sanatal maadhiyah" (dapat mengkafarahkan dosa setahun yang lalu).

(2) Meluaskan makanan kepada ahli keluarga

  • Imam ath-Thabrani dan Imam al-Baihaqi telah meriwayatkan dari Sayyidina Abu Sa`id al-Khudri, Sayyidina Abu Hurairah, Sayyidina Jabir dan Sayyidina Ibnu Mas`ud r.'anhum bahawa Junjungan s.a.w. bersabda:

"Sesiapa yang memberi keluasan / kelapangan (yakni keluasan rezki) kepada keluarganya pada hari 'Asyura`, maka Allah akan meluaskan rezkinya sepanjang tahun tersebut."

Berhubung hadis ini muhadditsin berbeza pendapat, ada yang mensabitkannya dan ada yang mendha`ifkan. Imam as-Sayuthi dalam "ad-Durarul-Muntatsirah" mensabitkan hadis ini sebagai sahih. Syaikh Zainuddin al-Malibari menulis dalam "Irsyadul 'Ibad ila Sabilir Rasyad" bahawa Imam Sufyan bin 'Uyainah berkata: "Kami telah mengamalkan hadis ini selama 50 atau 60 tahun, dan benar-benar sedemikian (yakni terjadi seperti yang dinyatakan dalam hadis tersebut, iaitu luas rezki sepanjang tahun).

*** Syaratnya hendaklah dari sumber dan makanan yang halal serta tidak disertai perasaan riya' dan pembaziran. Bagi yang kurang berkemampuan, hendaklah mempelokkan akhlak terhadap ahli keluarga dan memaafkan orang yang pernah melakukan kezaliman terhadap kita.

Manakala amalan lain, (3) hingga (12), sebahagian daripadanya diambil daripada dari hadith yang dhoif dan sebahagian daripadanya diambil daripada hadith munkar maudhu'.Namun demikian, memanfaat hadith dhoif dalam perkara yang berkaitan dengan fadhilat 'amal, adalah diharuskan kerana ulama hadith bersikap toleransi dalam permasalahan seperti ini. Manakala dari segi fadhilat pula, tidak lain tidak bukan adalah untuk memberi ransangan kepada kita untuk melakukan ketaatan kepada Allah.

Puasa Hari Tasu'a (ke 9 Muharam)

Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Ghatfan ibn Torif al Murri berkata:Aku mendengar Abdullah ibn Abbas R.A berkata :

Ketika Rasulullah sedang berpuasa hari Asyura dan menyuruh sahabat Baginda berpuasa, merek berkata : Wahai Rasulullah, sesungguhnya ia (hari asyura) adalah hari yang dimuliakan oleh orang Yahudi dan Nasrani. Maka Rasulullah bersabda, "Pada tahun hadapan sekiranya diizinkan oleh Allah, kami akan berpuasa pada hari yang kesembilan (Muharam)".

Berkata ibn Abbas R.A, " Maka tidak datang tahun berikutnya sehingga wafatnya Rasulullah."

Daripada ibn Abbas R.A, bahawa Rasulullah bersabda: "Sekiranya aku masih hidup hingga ke tahun akan datang, sudah pasti aku akan berpuasa pada hari yang ke-9 (Muharam)."

Hikmah

Para ulama menyebutkan bahawa hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu`a' (sembilan Muharram) itu adalah untuk :

i. Menyalahi atau membezakan amalan orang-orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari `Asyura' (sepuluh Muharram) sahaja.

ii. Bagi maksud berhati-hati berpuasa pada hari `Asyura' kerana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muharram itu dalam pengiraan adalah hari yang kesepuluh Muharram yang sebenarnya.

Sumber rujukan utama : Buku 'Amalan Awal Muharram dan Hari Asyura' yang dikarang oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki.

Alfana :

Buku tersebut terdapat dalam koleksi buku-buku saya..Sesiapa nak pinjam untuk mendapatkan bahan bacaan lanjut, boleh maklumkan..nak beli pun boleh, tapi lambat sket la boleh dapat..

Jumaat, Disember 18, 2009

Kaitan 1 Muharram dengan Hijrah Rasulullah Sollallahu'alaihi Wasallam

Setiap kali menjelangnya awal Muharram, kita semua akan diingatkan dengan peristiwa hijrah Rasul. Ini kerana peristiwa hijrah Rasul merupakan satu perkara yang sangat penting dalam sejarah, bukan sahaja kepada kita kaum muslimin, bahkan juga alam keseluruhannya. Betapa tidak, hijrah telah mengubah corak peradaban dunia. Dan kesannya masih boleh dilihat dan dikecapi sehingga hari ini.

Umat Islam telah menjadikan peristiwa hijrah Rasul sebagai permulaan tahun dalam kalendar Islam. Kerana itu, setiap kali tahun Islam disebut, ia akan dinyatakan dengan hijrah. Sebagai contoh: “tahun 1429H akan meninggalkan kita tidak lama lagi, dan tahun 1430H pula akan menyusul”. Huruf H yang diletakkan di hujung angka tahun itu adalah singkatan kepada hijrah, sebagaimana yang kita semua maklum.

Disebabkan permulaan tahun hijrah adalah pada bulan Muharram, mungkin ramai yang keliru dan menganggap bahawa hijrah Rasul berlaku pada 1hb Muharram. Sebenarnya hijrah Rasul bukanlah berlaku pada bulan Muharram, bahkan ia berlaku pada bulan Rabiul Awwal. Syeikh Sofyurrahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. meninggalkan rumah pada malam 27 Safar tahun ke 14 daripada kenabian. Ia bersamaan 12 atau 13hb September 622M. Kemudian, baginda bersembunyi di dalam gua selama tiga malam, iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. Dan pada malam Isnin, 1 Rabiul Awwal, bersamaan 16 September 622M, baginda berdua beredar meninggalkan gua bersama dengan Abdullah bin Uraiqith, yang memandu jalan. Baginda sampai di Quba' pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, tahun pertama Hijrah. Ia bersamaan dengan 23 September 622M. Baginda berada di Quba' selama empat hari, iaitu hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Pada hari kelima, iaitu hari Jumaat, 12 Rabiul Awwal, baginda sampai ke Madinah. (Ringkasan kitab ar-Rahiqul Makhtum, m/s 154-166).

Persoalannya, kenapakah hijrah dimulakan pada bulan Muharram, sedangkan hijrah Rasul berlaku pada bulan Rabiul Awwal? Sebenarnya, permulaan bilangan tahun hijrah, sekalipun dihitung bermula dengan hijrah Rasul, namun ia hanya bermula pada zaman pemerintahan Saidina Umar r.a. iaitu pada tahun ke 17 Hijrah. Ada juga yang menyatakan pada Rabiul Awwal tahun ke 16 hijrah (1). Sebelum dari tarikh tersebut, umat Islam sudahpun mempunyai nama-nama bulan, namun mereka tidak menentukan tahunnya.

Terdapat banyak faktor yang mendorong Saidina Umar menentukan tarikh, antaranya ialah kerana kerana Saidina Umar menerima satu surat tentang pengumpulan harta, dan ia bertulis pada bulan Sya'ban. Beliau bertanya: Sya'ban yang mana satu, Sya'ban yang lepas, atau Sya'ban sekarang, atau Sya'ban akan datang? Ada juga yang menyatakan bahawa orang pertama yang menulis tentang tarikh ialah Ya'la bin Umayyah r.a.. Beliau telah menulis surat dari Yaman, kepada Saidina Umar dengan menulis tarikh, dan Saidina Umar menganggap baik perkara tersebut, akhirnya beliau ingin memulakan penentuan tarikh. Antara faktornya juga ialah Abu Musa al-Asy'ari telah menulis satu surat kepada Saidina Umar, menyatakan bahawa telah sampai kepada beliau banyak surat-surat daripada Saidina Umar tanpa tarikh (dan ini boleh menimbulkan kekeliruan). Lalu Saidina Umar mengumpulkan para sahabat untuk membincangkan tentang penentuan tarikh.

Setelah Saidina Umar r.a. mengumpulkan para sahabat untuk menentukan permulaan tarikh, timbul empat cadangan dalam menentukan permulaan tahun Islam. Empat perkara tersebut ialah daripada tarikh kelahiran baginda, atau dari tarikh baginda dibangkitkan menjadi rasul, dari tarikh hijrah atau dari tarikh kewafatan baginda. Lalu akhirnya mereka sepakat untuk menjadikan hijrah Rasul sebagai asas permulaan tarikh Islam. Mereka tidak menjadikan tarikh kelahiran dan kebangkitan sebagai asas, kerana terdapat khilaf tentang bilakah kedua-dua peristiwa tersebut berlaku. Dan tarikh kewafatan pula, sekalipun jelas waktunya, adalah tidak sesuai dijadikan permulaan tarikh, kerana ia merupakan tarikh yang amat menyedihkan. Jadi tidak sesuai tarikh yang sedar diambil untuk diulang-ulangi sebutannya. Kerana itulah peristiwa hijrah adalah peristiwa yang paling sesuai untuk dijadikan asas permulaan tarikh. Kerana inilah, bila timbulnya pelbagai pendapat tentang bilakah asas yang sesuai untuk dimulakan tarikh, Saidina Umar menyatakan kata-katanya yang masyhur,
الهجرة فرقت بين الحق والباطل، فأرخوا بها
“ Hijrahlah yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Maka jadikanlah ia asas permulaan tarikh ”.

Berkata al-Imam as-Suhaili, para sahabat sebenarnya mengambil asas tahun hijrah berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah Ayat 108 yang bermaksud:
“ Sesungguhnya masjid yang diasaskan di atas ketaqwaan (Masjid Quba') sejak dari hari pertama adalah lebih patut kamu bersolat di dalamnya ”. Surah at-Taubah: 108. Terangnya lagi: “ Ini kerana sudah jelas bahawa hari tersebut bukanlah hari pertama yang sebenar (permulaan umur dunia). Bahkan hari pertama yang disandarkan kepada sesuatu yang tidak dinyatakan dalam ayat tersebut, iaitu zaman pertama kemenangan Islam, dan zaman pertama Nabi s.a.w. boleh beribadah dengan aman (tanpa sebarang gangguan) dan zaman permulaan pembinaan masjid ”. Kerana itulah sepakat para sahabat memulakan tahun Islam dengan tarikh hijrah, iaitu hari pertama Nabi s.a.w. dan para sahabat memasuki Madinah.

Dan setelah para sahabat sepakat untuk menjadikan peristiwa hijrah sebagai asas permulaan tahun Islam, mereka membincangkan pula, tentang dari bulan manakah kita akan mulakan perhitungan tahun. Maka timbullah pelbagai pendapat. Ada yang mencadangkan supaya dimulakan dengan rejab, dan ada pula dengan ramadhan. Namun Saidina Usman mencadangkan supaya dimulakan dengan bulan muharram. Antara alasannya ialah ia adalah bulan haram (bulan yang dihormati oleh masyarakat arab, kerana diharamkan berperang padanya), dan ia juga adalah masa kembalinya para jemaah daripada menunaikan ibadah haji. Dan antara sahabat yang juga mencadangkan bulan muharram ialah Saidina Umar dan Saidina Ali. Akhirnya, mereka telah memilih bulan muharram sebagai permulaan tahun hijrah, dan bukannya rabiul awwal. Dan antara sebab yang mungkin paling tepat kerana memilih bulan muharram dan bukannya bulan rabiul awwal ialah, kerana permulaan keazaman untuk berhijrah adalah pada bulan muharram. Ini kerana perjanjian Aqabah berlaku pada bulan zulhijjah. Dan perjanjian tersebutlah yang membawa kepada peristiwa hijrah. Dan bulan pertama yang muncul setelah zulhijjah ialah muharram, kerana itu sesuai dijadikan muharram sebagai bulan pertama, kalendar tahun umat Islam.

Jalan Hijau - Jalan biasa dari Mekah ke Madinah

Jalan Merah - Jalan yang digunakan Nabi semasa Hijrah

Inilah sebahagian fakta yang berkaitan dengan persoalan tarikh hijrah. Semoga fakta ini, sedikit
sebanyak menghilangkan kekeliruan tentang persoalan bilakah sebenarnya berlaku peristiwa hijrah Nabi s.a.w. Hijrah sebenarnya mengingatkan kita tentang pengorbanan dan matlamat perjuangan umat Islam. Hijrah juga menginsafkan kita bahawa kita sentiasa bergerak menuju Allah SWT. Kerana itu kita sentiasa perlu menambahkan kebaikan dan amal soleh kita. Orang yang berhijrah adalah orang yang berusaha meninggalkan dosa-dosa dan maksiat. Dan perkara itu tidak akan tercapai melainkan dengan keazaman yang tinggi. Sama-samalah kita berhijrah kerana Allah untuk sampai kepada Allah. Dan ingatlah bahawa orang yang berhijrah sentiasa memerlukan bimbingan Allah dalam hijrahnya menuju Allah. Hijrah bukan kerana Allah adalh sia-sia,dan hijrah tanpa bimbingan Allah, tidak akan sampai ke destinasinya.

• Sumber utama artikel ini ialah kitab Fathul Bari, Syarah Sohih Bukhari. (Kitab Manaqib al-Ansar, bab at-Tarikh, juz 7, m/s 341, 342).

Sumber artikel daripada salah seorang pensyarah KIAS..

Selasa, Disember 15, 2009

Salam Ma'al Hijrah 1431

Selepas maghrib hari Khamis ini (17hb Disember 2009) kita akan menyambut tahun baru hijrah 1431. Sambutan Ma'al Hijrah kali ini disambut beberapa minggu sebelum bermulanya tahun baru masihi 2010. Sebagai seorang muslim, seharusnya kita meraikan tahun baru hijrah ini lebih meriah berbanding tahun baru masihi. Jadi tidak salah rasanya kita mengisinya dengan amalan-amalan yang digalakkan dan bermanfaat sempena awal tahun baru ini. Antaranya :

1)Doa akhir tahun (pada akhir tahun hijrah 1430H)
2)Doa awal tahun (awal tahun 1431H - dalam Islam,permulaan tahun ialah selepas maghrib)
3) Doa Nabi Khidir yang diajarkan kepada Imam Ghazali
4)Doa-doa yang diajarkan oleh para ulama
5) Niat / azam baru (bukan masa tahun baru masihi sahaja..)

Mengenai perkara 1 dan 2, kadang kala terdapat pertikaian di kalangan golongan tertentu terhadap perkara ini. Oleh yang demikian, moleklah kiranya ana sertakan sebuah artikel yang ana rasa bermanfaat untuk penilaian kita bersama..

Selasa, Disember 08, 2009

Aku Budak Minang

Sekadar berkongsi cerita...antara cerita yang paling aku suka...diadaptasi daripada komik asal...yang juga antara koleksiku waktu kecik2..ntah bape kali aku khatam baca komik ni yang tidak jemu dibaca...sekarang bila dah ditayangkan dalam bentuk drama..tak kurang hebatnya...memang seronok...teringat balik asal usulku yang aku ni budak minang juga (walaupun loghat tak berapa pandai..huhu..malu2)..bagi yang tak pernah tengok bolehla tonton setiap hari Selasa pukul 8.30 malam di TV2....

Ringkasan Drama

Language : Malay

Subtitle : None


Synopsis / Info

SIAPA tak kenal kartunis bernama Ujang. Watak kartun yang dicetuskan personaliti itu membesar bersama kelompok peminatnya sendiri. Selama tempoh itu jugalah nama Ujang begitu gah di hati pengikutnya. Namun di sebalik itu, tiada siapa tahu kehidupan silam kartunis popular itu hingga wujud karakter kartun popular ciptaannya. Dan pastinya drama bersiri Aku Budak Minang arahan Zulkifli M Osman terbitan Niscam Media Sdn Bhd menyelongkar suka duka Ujang atau nama sebenarnya, Ibrahim Aton, 43, sejak zaman kanak-kanak hinggalah dewasa.

Aku Budak Minang diadaptasikan daripada jalan cerita dan kisah yang dipaparkan dalam komik Ujang terbitan Creative Enterprise. Menerusi 13 episod, ia telah menemui penonton di kaca TV2. . Menampilkan Along (Kumpulan Cham) selaku Ujang, selain Baharuddin Omar (Atuk), Zila AF (Anor), Rosman Mohd Roslan (Aca), Maimunah Ahmad (Emak), Maimon Talib (Mak Lijah), Adzriq Adam (Zaini), Mohd Affiq Azman (Bujal) dan Enot (kakak).

Ujang berkata, inilah karya pertamanya yang diangkat ke kaca televisyen selepas 25 tahun bergelar kartunis. “Sebahagian watak yang diwujudkan adalah karakter kartun yang pernah diangkat dalam komik Aku Budak Minang, manakala sebahagiannya adalah rekaan semata-mata. Ada watak yang diwujudkan tidak menggunakan nama sebenar bagi menjaga identiti mereka yang pernah bersama dan membantu saya selama ini. “Saya berterima kasih kepada penerbit, Adam Mat dan pengarah, Zulkifli yang berminat mengetengahkan karakter kartun dan kisah hidup saya ke drama TV. Hampir 90 peratus jalan cerita yang dipaparkan berasaskan penceritaan dalam komik Aku Budak Minang,” katanya ketika dihubungi B*Pop.

Ujang berkata, kebanyakan watak kartun yang diwujudkan mempunyai pertalian dalam hidupnya. Apabila mengetengahkan karakter kartun Aku Budak Minang sekali gus menyingkap kehidupan silamnya. “Watak Ujang, Atuk, Aca dan Emak adalah mereka yang menjadi sebahagian hidup saya. Mereka inspirasi saya dalam menghasilkan karya selama ini. Bagaimanapun, saya juga insan biasa yang menjalani hidup seperti orang lain. Apa yang berlaku pada diri saya ketika zaman kanak-kanak hingga dewasa menjadi paparan karya saya. “Ibu pernah berkecil hati gara-gara saya mematikan wataknya dalam komik saya. Sekampung heboh mengatakan ibu meninggal dunia apabila saya mematikan watak ibu dan ayah dalam komik. Begitulah impak komik saya sehingga mereka benar-benar percaya ibu saya sudah meninggal dunia sedangkan niat saya hanya mahu mematikan watak ibu dan ayah dalam karya saya. Selepas menjelaskan perkara sebenar, ibu barulah faham, saya hanya berkarya. Saya tak pernah lupa, ibu antara pendorong kejayaan saya selama ini, manakala ayah pula sudah meninggal dunia,” katanya. Anor menjadi kekasih Ujang di kampung.

Akuinya, mungkin ada yang menganggap kisah hidupnya penuh ranjau duri apabila sering dipukul ibu ketika kecilnya. Dia juga pernah lari dari kampung selepas berkecil hati dengan keluarga. “Bagaimanapun, keluarga tidak pernah bersalah dalam apa juga perkara. Selepas kelahiran adik, Aca, saya sendiri rasa dipinggirkan. Akibat sering membuli Aca yang dilahirkan cacat, saya sering dirotan. Di sekolah pula saya menjadi kepala samseng dan sering membuli pelajar lain sebagai tanda protes apabila di rumah sering dipukul. Apabila direnungkan kembali, ibu memukul saya untuk mengajar saya menjadi anak berguna. Tiada ibu bapa yang tidak sayangkan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Along berkata, jalan cerita yang dipaparkan cukup unik kerana mengetengahkan sepenuhnya latar belakang dan cara hidup masyarakat Negeri Sembilan selain menggunakan negeri Adat Pepatih itu sepenuhnya. “Saya terharu apabila watak Ujang ini ditawarkan oleh kartunis itu sendiri. Beliau datang mencari saya ketika saya berada di Gelanggang Raja Lawak lagi. Tak mungkin saya melepaskan peluang keemasan ini kerana saya antara jutaan peminat kartun dan majalah karya Ujang. Saya masih ingat lagi, saya sanggup mengikat perut untuk membeli komik Ujang ketika waktu persekolahan. Mulanya saya tak yakin mampu membawa watak Ujang kerana memerlukan saya berdialog Negeri Sembilan, sedangkan saya berasal dari Johor. Tentu saya berdepan masalah. “Namun, Ujang memberikan saya semangat dan begitu yakin dengan saya. Sebelum ini, saya sering juga bertemu Ujang dalam majlis tertentu, tetapi saya segan mendekatinya, maklumlah siapalah saya. Bagaimanapun, saya tak sangka Ujang memerhatikan saya dan memilih saya untuk membawakan watak dirinya,” katanya.
Along berkata, dia tidak menyangka di sebalik karakter kartun yang diwujudkan mempunyai cerita berkaitan hidup Ujang. “Selepas membawakan watak Ujang, barulah saya dapat menyelami siapa diri Ujang yang sebenar. Saya diberitahu dialog dalam drama Aku Budak Minang berasaskan komik berkenaan, hanya sedikit saja ubah suai dilakukan. Ujang digambarkan sebagai seorang budak yang sering dipukul ibunya kerana suka membuli adiknya, Aca yang cacat. Ujang memberontak di sekolah. Sunguhpun begitu, Ujang sebenarnya menyayangi Aca, jangan ada yang mengutuk keluarga terutama adiknya yang cacat, pasti kena pukul. “Atuk dan Anor menjadi tempat Ujang meluahkan perasaan. Air mata saya tak habis-habis menitis ketika melakonkan babak Ujang di kubur nenek, mengadu dirinya tidak disayangi keluarga,” katanya.

- SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN -
Lagu Tema Drama

Selasa, Disember 01, 2009

Persoalan Sekitar Hukum

Soalan 1 : Boleh tak kita solat kat rumah orang kafir
Jawapan : Boleh berdasarkan hadith Nabi :
Dari Abu Dzar r.a bertanya:”Ya Rasulullah! Masjid manakah yang mula-mula dibangun kan di muka bumi ini?” Jawab Rasulullah s.a.w :’Masjidil Haram!” Aku bertanya lagi:”Sesudah itu masjid apa?” Jawab baginda:”Masjidil Aqsa!” Aku bertanya lagi:”Berapa lamakah jarak antara kedua masjid itu dibangunkan?” Jawab baginda:”Empat puluh tahun.. Dan di mana sahaja kamu berada jika waktu solat telah tiba, maka solatlah (segera) kerana bumi ini adalah masjid (tempat sujud).”
(Muslim)
Sumber hadith : JAKIM
Di samping itu, ia sebagai keringanan bagi orang yang baru memasuki Islam yang pulang ke rumah ibu bapanya yang masih belum Islam. Tetapi ada juga pendapat menambah dengan syarat rumah atau tempat solat tersebut perlulah diyakini bersih daripada segala kekotoran dan tidak terdapat patung/berhala di dalamnya. Sesungguhnya setiap inci bumi ini adalah milik Allah dan setiap permukaan bumi ini dikira masjid bagi orang Islam. (Tapi jangan pula solat dalam tandas pula tau..yang tu konfem tak boleh). Juga dibolehkan selagi mana tidak mendatangkan fitnah, ancaman atau mudarat pada Islam. Wallahu'alam (Allah yang lebih mengetahui)
p/s : kalo ustazah ada info terkini, ustazah maklumkan ye..

Soalan 2 : Tindakan terhadap jiran yang suka maki
Jawapan : Alhamdulillah, aisyah mempunyai perasaan untuk membenci sikap tersebut (bukan benci pada orangnya tau). Dalam kes sebegini, sememangnya sikap tersebut adalah sifat mazmumah (buruk).Sebagaimana firman Allah dalam Surah AnNisa':
Ayat 148 = Allah tidak menyukai ucapan buruk[371], (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya[372]. Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
[371]. Ucapan buruk sebagai mencela orang, memaki, menerangkan keburukan-keburukan orang lain, menyinggung perasaan seseorang, dan sebagainya.[372]. Maksudnya: orang yang teraniaya oleh mengemukakan kepada hakim atau penguasa keburukan-keburukan orang yang menganiayanya.

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :” Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat.” (Hadith riwayat Ahmad dan Tirmizi)
Huraian :
(i) Memperli, memperolok-olok, mengejek, menghina, memperleceh, memperlekeh, memanggil dengan gelaran yang memalukan, menyatakan kekurangan orang secara terang-terangan dan sebagainya adalah perbuatan yang sangat dilarang oleh Allah.
(ii) Sesiapa yang mencaci orang lain sebenarnya dia mencaci dirinya sendiri. Sebaiknya selaku umat Islam kita hendaklah hidup saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan tolong-menolong. Justeru, apabila mendengar celaan, kita sepatutnya bertindak menyembunyikan keburukan tersebut sekalipun seseorang yang dicela itu memang telah melakukan sesuatu dosa yang mengaibkan kerana kemungkinan orang itu telah bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian ganjarannya adalah amat besar di akhirat kelak.

Tindakan :
1. Sebagai jiran, kita hendaklah menegur perbuatan tersebut sekiranya mampu.
2. Sekiranya tidak mampu, kita tunjukkan sikap yang baik (dakwah bil hal-dakwah dengan akhlak yang baik). Segala kata-kata yang buruk itu kita balas dengan senyuman. Jangan api lawan dengan api, tentu bertambah marak. Seperti pokok buah, dibaling dengan batu, dibalas dengan buah (fikir-fikirkan).
Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata-kata dengan kebaikan atau jika tidak, hendaklah dia diam sahaja. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya.”
(al-Bukhari dan Muslim)
3. Dalam masa yang sama, cuba maklumkan pada sesiapa yang dihormati oleh jiran tersebut, contoh ibu bapanya, guru yang disayanginya, rakan baiknya atau sesiapa sahaja yang berakhlak mulia yang dihormatinya, agar menegur perbuatan tersebut.
4. Jangan lupa, sentiasa doakan moga2 suatu hari nanti, dia akan berubah sikap.

Khas untuk anak murid ustazah di SKBR, hayatilah hadis di bawah. Sebagai teguran bersama, sesungguhnya teguran itu tanda ustazah sayang pada kalian agar menjadi seorang muslim yang lebih baik pada masa akan datang,k.

Hadith :
Dari Abdullah bin Amru bin Ash r.a, katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Mencaci ibu bapa termasuk dosa besar.” Para sahabat bertanya:”Adakah orang yang mencaci ibu bapanya?” Jawab Rasulullah s.a.w ,:”Ya, ada! Dicacinya bapa orang lain, lalu orang itu mencaci bapanya pula. Dicacinya ibu orang lain, lalu orang itu mencaci ibunya pula.”
(Muslim)
Huraian :
Dalam kehidupan ini kita selalu ingin menjadi yang terbaik sehingga kita lupa bahawa kita telah menjangkau batasan orang yang baik-baik. Selaku seorang yang beragama Islam kita hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik. Hormati orang lain sebagaimana kita mahu diri kita dihormati. Orang yang biadap memiliki tiga ciri iaitu fikirannya buruk, ucapannya kasar dan perilakunya jahat. Orang demikian cenderung melakukan hal-hal yang tidak sepatutnya. Mereka tidak pandai menghormati orang dan suka mencaci maki orang tanpa menyedari bahawa kata-kata itu akan kembali kepada diri mereka sendiri mahupun ibu bapa mereka. Lebih dari itu mereka juga sebenarnya telah mencemarkan identiti sebagai seorang Islam yang sentiasa menyuruh umatnya agar berbudi bahasa dan berakhlak mulia.
Sumber : JAKIM
Wallahu'alam...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Nak Kenal Lagi??

Emel = alsalsabil@hotmail.com
YM = zanjabil27@yahoo.com
FS = laislamic@yahoo.com

Great Morning ©  Copyright by RaUDhaH Al-BaAn | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks